Untung bersih PGB suku pertama 2021 melonjak 40% | DagangNews Skip to main content

Untung bersih PGB suku pertama 2021 melonjak 40%

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Untung bersih Petronas Gas Bhd. (PGB) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 melonjak 40.28% kepada RM516.4 juta berbanding RM368.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Prestasi lebih baik ini disumbangkan menerusi semua segmen perniagaannya ekoran kos operasi yang lebih rendah. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, PGB berkata, perolehan bagi tempoh itu bagaimanapun susut 4% kepada RM1.34 bilion berbanding RM1.4 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

"Ini disebabkan perolehan lebih rendah bagi segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang rendah di tengah-tengah kenaikan jumlah jualan," katanya hari ini.

 

Dari segi segmen, pemprosesan gas menyaksikan pendapatan setanding RM428.9 juta sementara hasil segmen meningkat 9.2% berikutan kos operasi yang lebih rendah.

 

Perolehan bagi pengangkutan gas pula 1.5% lebih rendah disebabkan hari beroperasi semakin berkurangan dan ditambah pula dengan pendapatan operasi dan penyelenggaraan yang rendah.

 

Bagi segmen regasifikasi pula, perolehan meningkat 0.8% susulan pengenalan aliran perolehan baharu daripada muatan semula gas asli cecair di RGTSY dan muatan trak di RGTP.

 

Bagaimanapun, segmen utiliti menurun 16% disebabkan harga produk yang rendah disebabkan penurunan harga gas bahan bakar.

 

Menurut PGB, prestasi 2021 dijangka kekal berdaya tahan di sebalik pandemik COVID-19 yang masih berterusan. 

 

"Model perniagaan kumpulan dan juga kontrak jangka panjang akan memastikan aliran pendapatan yang stabil terutama pemprosesan gas, pengangkutan gas dan segmen perniagaan regasifikasi," katanya. - DagangNews.com