Untung bersih PLS Plantations melonjak 109.6% kepada RM35 juta bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih PLS Plantations melonjak 109.6% kepada RM35 juta bagi FY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Untung bersih PLS Plantations Berhad melonjak 109.6% kepada RM35 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) berbanding RM16.7 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan itu juga merekodkan hasil bagi FY22 sebanyak RM184.1 juta iaitu peningkatan 36.5% berbanding RM134.8 juta pada FY21 didorong peningkatan jualan dan purata harga jualan buah tandan segar.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) untuk 2022 berada pada paras RM27.3 juta, peningkatan 118.4% daripada RM12.5 juta pada tahun sebelumnya.

 

Prestasi positif itu disebabkan peningkatan hasil dari suku ke suku sebanyak 41.8% kepada RM44.8 juta daripada RM31.6 juta tahun lalu.

 

Pada 4QFY22, keuntungan sebelum cukai kumpulan itu susut RM4.8 juta atau 12.7% berbanding RM5.5 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Lee Hun Kheng berkata, ia merupakan tahun kewangan yang sangat baik untuk kumpulan selepas pihaknya mempelbagaikan perniagaan kepada tanaman kontan yang berbeza selain membina saluran pengedaran termasuk mempelbagaikan produk hiliran, khususnya ke dalam produk pengguna durian. 

 

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan untuk melancarkan Program Agropreneur dan membina Taman Agrotech Bersepadu.

 

"Kerjasama kami dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta rakan ekosistem akan menjadi tunjang kepada usaha kami untuk memainkan peranan dalam memperkukuh ekologi dan rangkaian agromakanan tempatan yang akan menyumbang kepada keselamatan makanan negara secara keseluruhan.

 

"Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan melaksanakan satu siri kerjasama yang akan membolehkan kami menjejaki usaha kepelbagaian tanaman kami dengan pantas khususnya tanaman selingan dan tanaman kontan," katanya. - DagangNews.com