Untung bersih Q2 Comfort Gloves melonjak 248% dipacu jualan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 Comfort Gloves melonjak 248% dipacu jualan lebih tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Hasil jualan yang lebih tinggi telah mendorong keuntungan bersih Comfort Gloves Berhad untuk melonjak 248% pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22) yang berakhir 31 Julai 2021 kepada RM148.8 juta daripada RM42.80 juta yang dicatatkan pada 2QFY21. 

 

Lonjakan keuntungan bersih syarikat pengeluar sarung tangan itu juga dipacu oleh skala ekonomi yang bertambah baik, di mana telah meningkatkan margin daripada 22% kepada 30% sekali gus mengurangkan impak peningkatan harga lateks, menurut makluman kumpulan di Bursa Malaysia. 

 

“Bagi suku tahun semasa, kumpulan mencatatkan hasil jualan yang ketara lebih tinggi sebanyak RM504.2 juta, melonjak sebanyak RM306.3 juta atau 155% berbanding suku tahun sama pada tahun sebelumnya. 

 

“Hasil jualan yang lebih tinggi ini terutamanya dipacu oleh peningkatan purata harga jualan (ASP) dan jumlah jualan yang lebih tinggi,” jelas Comfort Gloves.

 

Bagi prestasi enam bulan pertama FY22 (6MFY22), kumpulan menyaksikan hasil jualannya meningkat sehingga 198% atau RM694.6 juta kepada RM1.05 bilion berbanding tempoh sama pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Ini sekali gus menjadikan keuntungan bersih kumpulan pada tempoh berkenaan menokok 522% kepada RM367,96 juta.

 

Comfort Gloves mengisytiharkan dividen interim pada kadar 2 sen sesaham yang akan dibayar pada 22 Oktober 2021.

 

“Kumpulan menjangkakan permintaan sarung tangan global akan terus meningkat dalam jangka masa panjang sejak penularan pandemik COVID-19. 

 

“Dengan kesedaran kebersihan meningkat di pelbagai sektor dan penjagaan peribadi, penggunaan dan permintaan sarung tangan yang berterusan sebagai langkah perlindungan akan melonjak dalam jangka masa terdekat ini.

 

“Berdasarkan prospek positif ini, kumpulan berhasrat untuk memanfaatkan peluang tersebut untuk meneruskan pelan pengembangan. Dalam pada itu, ASP sarung tangan dijangka menyusut pada suku tahun seterusnya,” tambah Comfort Gloves. 

 

Setakat 2.23 petang, harga saham Comfort Gloves menyusut 6 sen kepada RM1.31. - DagangNews.com