Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Keuntungan bersih BIMB Holdings Bhd. susut 34.83% bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020 kepada RM135.81 juta berbanding RM208,384 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan juga susut 3.26% kepada RM1.33 bilion pada suku berkenaan berbanding tempoh sama 2019 pada RM1.38 bilion.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2020 (9M20), BIMB merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM794.5 juta.
BIMB dalam kenyataan berkata, ia disebabkan impak pendapatan daripada pembiayaan bersih yang rendah apabila kadar dasar semalaman (OPR) diturunkan beberapa kali.
"Selain itu, pelarasan kerugian berikutan pelaksanaan moratorium mulai April 2020 dan peruntukan rosot nilai yang mengambil kira persekitaran ekonomi mencabar menyebabkan PBZT kumpulan RM143.9 juta lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Malah, untung bersih juga berkurangan RM108 juta kepada RM498.1 juta," katanya.
Pada masa sama, kumpulan juga merekodkan pulangan ekuiti selepas cukai tahunan (ROE) yang sihat pada 11.7% manakala pendapatan sesaham 27.82 sen.
Menurut BIMB, kualiti aset portfolio bank kekal kukuh yang mencerminkan nisbah pmbiayaan kasar terjejas yang rendah pada 0.6% setakat 30 September 2020, lebih rendah berbanding 1.4% sistem perbankan.
Pembiayaan kasar terjejas bagi tempoh itu berjumlah RM328.9 juta berbanding RM541.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
"Dengan jumlah nisbah modal sebanyak 18.8% setakat 30 September 2020, Bank Islam berada dalam kedudukan modal yang kukuh untuk menyediakan bantuan bersasar kepada pelanggan yang terjejas dan menyokong pertumbuhan perniagaan secara berterusan," katanya.
Bank Islam merekodkan PBZT sebanyak RM526.3 juta bagi tempoh 9M20, 18.6% lebih rendah berbanding tempoh sama 2019.
Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad pula merekodkan PBZT sebanyak RM309.6 juta bagi 9M20 berbanding RM332.2 juta bagi tempoh sama 2019.
"Pendapatan operasi pula lebih rendah pada RM2.18 bilion pada 9M20, berbanding RM2.34 bilion tahun lalu. Ini disebabkan jualan yang rendah menerusi segmen perniagaan Takaful Keluarga," katanya. - DagangNews.com