Untung bersih Q3 Hartalega susut 74% kepada RM259.06 juta, disebabkan penurunan ASP | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q3 Hartalega susut 74% kepada RM259.06 juta, disebabkan penurunan ASP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd. bagi suku ketiga (Q3) berakhir 31 Disember 2021 merosot sehingga 74.14% kepada RM259.06 juta daripada RM1.002 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Ini berikutan pendapatannya juga susut 52.8% kepada RM1.005 bilion daripada RM2.13 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Hasil yang lebih rendah ini disebabkan penurunan harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan kerana permintaan jualan yang lebih rendah dan peningkatan bekalan daripada pengeluar sarung tangan getah utama dan baharu.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersih kumpulan meningkat 93.79% kepada RM3.43 bilion daripada RM1.77 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan juga meningkat 57.4% kepada RM6.92 bilion berbanding RM4.4 bilion. 

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh ASP yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun kewangan semasa (tahun kewangan 2022-FY22), selepas mengimbangi peningkatan kos bahan mentah ditambah pula dengan kesan ke atas pengurangan jumlah jualan sebanyak 21%.

 

Untuk perbandingan suku ke suku, pendapatan menyusut sebanyak 50% daripada tempoh sama bagi suku sebelumnya memandangkan ASP pada suku semasa merosot 44% disebabkan peningkatan bekalan daripada pengeluar sarung tangan getah baharu dan utama.

 

Jumlah jualan juga menurun sebanyak 17% pada suku kedua disebabkan pelanggan terus menyelaraskan inventori ekoran penurunan ASP di samping cabaran dari segi logistik seperti kekangan kapasiti pada kapal.

 

Menurut Hartalega, sejajar dengan permintaan sarung tangan getah yang berkembang di peringkat global, kumpulan akan terus mengembangkan kapasiti di NGC, Sepang. 

 

Setakat ini, katanya, 8 daripada 9 barisan pengeluaran telah pun beroperasi dan apabila beroperasi sepenuhnya, Kilang 7 akan mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 2.6 bilion keping sarung tangan getah. 

 

"Pembinaan untuk pengembangan akan datang di bawah NGC 1.5, sedang dijalankan dan kumpulan menyasarkan untuk mentauliahkan barisan pertama pengeluaran menjelang Oktober 2022," katanya. 

 

NGC 1.5 akan menempatkan 4 tambahan kilang pengeluaran dan akan menyumbang 19 bilion keping kepada kapasiti tahunan. 

 

Apabila siapnya NGC 1.5 ini, kapasiti tahunan kumpulan akan meningkat kepada 63 bilion keping setahun. 

 

"Melangkah ke masa hadapan, kumpulan akan terus memberi fokus untuk meningkatkan kecekapan dan automasi merentasi semua operasi. 

 

"Kami juga kekal optimis mengenai prospek jangka panjang didorong permintaan yang meningkat bagi sarung tangan getah dan pelan pengembangan secara berterusan," jelasnya. - DagangNews.com