Untung bersih Scientex Packaging merosot 37% kepada RM7.7 juta bagi 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Scientex Packaging merosot 37% kepada RM7.7 juta bagi 1QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Keuntungan bersih Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd merosot 37% kepada RM7.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) berbanding RM12.28 juta dalam tempoh sama tahun lalu disebabkan pendapatan lebih rendah dan kos elektrik lebih tinggi.

 

Pada suku berakhir 31 Oktober 2023 itu, pendapatan Scientex Packaging berjumlah RM172.97 juta, merosot 19% daripada RM213.9 juta disebabkan jualan eksport yang lebih rendah.

 

Manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan turun kepada 2.2 sen daripada 3.5 sen, menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada asas suku tahunan, keuntungan bersih kumpulan adalah lebih tinggi daripada RM149,000 yang dicatatkan pada suku sebelumnya (4QFY23), namun, pendapatannya lebih rendah berbanding RM185.32 juta pada 4QFY23.

 

Scientex Packaging berkata ketidaktentuan politik yang berterusan, peningkatan tekanan inflasi serta kelemahan sentimen pasaran terus mempengaruhi kos operasi dan permintaan pasarannya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata ia meneruskan usahanya untuk menangani kecekapan operasi, dengan tumpuan kepada pengurangan sisa, pengoptimuman mesin dan buruh.

 

Menurut kumpulan itu, pelaburan dalam teknologi dan inovasi membolehkannya mencapai kemajuan baik dalam pembangunan produk pembungkusan yang mengutamakan pelanggan, memenuhi keperluan mereka berkaitan prestasi fungsian dan kelestarian.

 

“Komitmen kami terhadap pembungkusan mampan kekal tidak berbelah bahagi dengan peningkatan portfolio pembungkusan kitar semula sepenuhnya serta pembungkusan yang menggabungkan kandungan resin kitar semula pasca-pengguna.

 

“Keadaan sosioekonomi di Myanmar kekal mencabar dalam jangka pendek dan sederhana yang boleh dijangka.

 

“Bagaimanapun, kumpulan akan terus memerhatikan keadaan dan perubahan dalam kawasan itu untuk menguruskan operasinya bagi meminimumkan kesan buruk sambil meneroka pilihan yang berkaitan dengan operasi Myanmar,” katanya.

 

Ia menambah bahawa kumpulan itu akan meneruskan komitmennya ke arah meningkatkan kelebihan daya saing dan strategi pertumbuhan jangka panjang dan optimis bahawa ia akan dapat mengekalkan prestasinya dalam tahun kewangan semasa.

 

Pada pukul 4:05 petang ini, saham dalam Scientex Packaging didagang turun 13 sen atau 5.8% kepada RM2.12 dengan permodalan pasaran sebanyak RM744.5 juta.  - DagangNews.com