Untung bersih Seng Fong pada 4QFY24 melonjak lebih 5 kali ganda kepada RM16.4 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Seng Fong pada 4QFY24 melonjak lebih 5 kali ganda kepada RM16.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Untung bersih Seng Fong Holdings Bhd pada suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) melonjak lebih lima kali ganda kepada RM16.4 juta berbanding RM2.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan jumlah jualan.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu juga meningkat kepada RM331.3 juta pada suku berkenaan berbanding RM238.8 juta pada 4QFY23

 

Katanya, peningkatan hasil daripada segmen pemprosesan didorong peningkatan jumlah jualan sebanyak 7,137 tan metrik atau 18.7% kepada RM45,239 tan metrik pada 4QFY24 serta kenaikan purata harga jualan sebanyak RM7,323 bagi setiap tan berbanding RM6,202 setiap tan pada 4QFY23.

 

"Peningkatan jumlah jualan pada Q4FY24 disumbangkan daripada pertambahan waktu pengeluaran dengan menambah syif kerja kedua di ketiga-tiga kilang

 

"Selain itu, kos diesel yang lebih rendah sebanyak RM7.1 juta untuk kumulatif 4QFY24 (4QFY23: RM14.1 juta) sistem biojisim mula beroperasi," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM57.3 juta berbanding RM22.6 juta disokong hasil sebanyak RM1.14 bilion berbanding RM937 juta pada FY23.

 

Seng Fong berkata, mereka menerima insentif daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam bentuk Elaun Modal Automasi di bawah Kategori 1 - Industri Intensif Buruh produk getah di mana Elaun Modal Automasi sebanyak 200% ke atas perbelanjaan RM10 juta pertama yang dilakukan dalam tahun taksiran dari 2023 hingga 2027.

 

Katanya, skop automasi termasuk penyesuaian elemen Industri 4.0.

 

"Walaupun jangkaan pemotongan kadar faedah Fed yang akan memberi kesan ke atas pergerakan pertukaran mata wang asing, lembaga pengarah kekal optimis terhadap prospek kumpulan untuk FY25 dalam mencapai pertumbuhan yang mampan dalam operasi dan prestasi kewangan mereka.

 

"Namun begitu, lembaga pengarah akan terus berwaspada dan akan terus berhemat dalam menguruskan operasi kumpulan," katanya.- DagangNews.com