Untung bersih Sime Darby Property melonjak 127.9% pada 2QFY24 didorong jualan kukuh hartanah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sime Darby Property melonjak 127.9% pada 2QFY24 didorong jualan kukuh hartanah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Sime Darby Property Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM161.96 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), melonjak 127.9% berbanding RM71.06 juta suku sama setahun yang lalu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, pendapatan suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu pula meningkat sebanyak 75% tahun ke tahun YoY kepada RM1.2 bilion berbanding RM688.9 bilion pada 2QFY23.

 

"Peningkatan ini didorong oleh hasil segmen yang kukuh daripada segmen pembangunan hartanah dan pemulihan dalam segmen leisure (seperti golf dan pusat konvensyen) daripada kerugian pada suku sebelumnya kepada keuntungan dalam tempoh semasa.

 

"Walau bagaimanapun, kerugian segmen pelaburan dan pengurusan aset meningkat pada suku semasa disebabkan bahagian kerugian yang lebih tinggi daripada usaha sama," katanya hari ini.

 

Sementara itu, dalam kenyataannya, Sime Darby Property mengisytiharkan dividen pertamanya sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berjumlah pembayaran sebanyak RM102 juta, yang mencerminkan komitmen Syarikat untuk menyampaikan nilai pemegang saham.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY24 (1HFY24), keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Sime Darby Property berjumlah sebanyak RM285.5 juta bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2024, meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

"Syarikat merekodkan peningkatan 59% dalam pendapatan kepada RM2.2 bilion, prestasi separuh tahun paling kukuh sejak pemisahan pada 2017.

 

"Prestasi kewangan syarikat disumbangkan terutamanya oleh momentum jualan yang mampan merentasi campuran produk yang pelbagai serta kemajuan kerja-kerja pembinaan yang lebih baik dalam segmen pembangunan hartanah," jelasnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, keputusan separuh tahun pertama ini adalah luar biasa, yang menunjukkan keupayaan untuk menyelaraskan secara strategik dengan permintaan pasaran dan meningkatkan kecekapan operasi. 

 

"Sumbangan yang ketara daripada segmen industri, kediaman bertingkat tinggi dan kediaman bertanah kami telah memainkan peranan penting dalam mencapai 60% daripada sasaran jualan RM3.5 bilion kami, yang menekankan keberkesanan mempelbagaikan campuran produk kami," ujarnya.

 

Membina momentum ini, Syarikat mengumumkan rancangan pada Mei 2024 untuk membina pusat data skala besar Google, yang menandakan kemasukannya ke dalam kelas aset pusat data. 

 

"Langkah ini sejajar dengan strategi SHIFT25 Syarikat untuk meningkatkan pendapatan berulangnya. Pajakan 20 tahun itu, yang bernilai RM2 bilion dengan pilihan untuk pembaharuan, bukan sahaja mengukuhkan kehadiran pasaran Syarikat tetapi juga membuka peluang baharu dalam sektor pusat data yang berkembang pesat," katanya.

 

Melihat ke hadapan, Sime Darby Property menjangkakan momentum yang mampan pada separuh kedua 2024, didorong oleh permintaan yang sihat dan peningkatan jumlah jualan. 

 

"Transformasi berterusan menjadi syarikat hartanah terkemuka kekal di landasan yang kukuh," jelasnya. - DagangNews.com