Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov - Axiata Group Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 (3QFY21) meningkat 25.85% suku ke suku (qoq) kepada RM349.56 juta berbanding RM277.76 juta pada suku sebelumnya disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata, pendapatan sesaham dalam 3QFY21 turut meningkat kepada 3.8 sen daripada tiga sen pada 2QFY21.
Katanya, hasil bagi tempoh itu juga meningkat 2.39% kepada RM6.54 bilion berbanding RM6.39 bilion hasil sumbangan daripada PT XL Axiata Tbk, Dialog Axiata PLC, Robi Axiata Ltd dan Axiata Digital Services Sdn Bhd.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku di bawah semakan turut meningkat 1.7% kepada RM2.86 bilion, daripada RM2.81 bilion pada 2QFY21, dengan pengurusan kredit dan inventori yang lebih baik serta usaha pengoptimuman kos, diimbangi sebahagiannya oleh kos operasi yang lebih tinggi.
"Keuntungan selepas cukai dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat sebanyak 11.6% dan 25.9% kepada RM463.1 juta dan RM349.6 juta, disokong oleh garis atas yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi , kerugian pertukaran asing dan cukai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pada asas tahunan, keuntungan bersih Axiata susut 0.97% berbanding RM352.99 juta pada 3QFY20, walaupun hasil meningkat 7.06% daripada RM6.11 bilion.
"Lembaran imbangan sihat kumpulan dengan hutang kasar/EBITDA pada 2.49x dan baki tunai RM7.3 bilion terus bekerja dengan baik dalam meletakkan peluang baharu dan usaha niaga pertumbuhan dalam segmen perniagaan rumah, perusahaan dan digital," katanya.
Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2021, keuntungan bersih kumpulan meningkat 13.16% kepada RM702.87 juta daripada RM621.11 juta.
Hasil kumulatif sembilan bulan meningkat 5.89% kepada RM19 bilion daripada RM17.94 bilion setahun sebelumnya. -DagangNews.com