Untung bersih Widad susut lebih 95% kepada RM344,000 bagi 2QFY23 berbanding RM7.4 juta tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Widad susut lebih 95% kepada RM344,000 bagi 2QFY23 berbanding RM7.4 juta tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih Widad Group Berhad susut lebih 95% kepada RM344,000 bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM7.4 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Bagi suku berkenaan, kumpulan itu juga mencatatkan penyusutan hasil sebanyak RM30.9 juta berbanding RM49.5 juta pada suku sama tahun lalu manakala hasil bagi tempoh enam bulan terkumpul juga susut kepada RM93.6 juta berbanding RM101.5 juta.

 

"Hasil kumpulan untuk suku kedua dan tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 adalah lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya sebanyak 38% dan 8% disebabkan penurunan dalam hasil segmen pembinaan dan pengurusan kemudahan bersepadu (IFM) berikutan tamat kontrak berakhir Jun 2022.

 

"Aktiviti pembinaan menjadi perlahan dalam tempoh tersebut berikutan gangguan bekalan bahan mentah dan kajian semula pencapaian projek untuk projek infrastruktur di wilayah utara dan kerja-kerja jalan di kos timur semenanjung Malaysia.

 

"Seiring dengan hasil yang rendah kumpulan mencatatkan untung bersih yang lebih rendah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, selepas berakhirnya pilihan raya di enam negeri, projek mega di peringkat persekutuan dan negeri dijangka akan kembali bergerak termasuk projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Transit Aliran Ringan Bayan Lepas (BLLRT) dan projek tebatan banjir di seluruh negara.

 

Menurut data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), jumlah nilai kerja pembinaan yang diberikan sehingga Julai 2023 ialah RM59.4 bilion (Julai 2022: RM77.6 bilion).

 

"Secara keseluruhan, industri pembinaan dijangka meneruskan momentum pertumbuhan pada separuh kedua 2023. 

 

"Sehubungan itu, kumpulan berusaha untuk merebut peluang yang timbul daripada potensi pertumbuhan dalam industri pembinaan," katanya.

 

Pada April 2023, kumpulan itu berkata, segmen IFM memperoleh kontrak dua tahun untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan aset bagi infrastruktur dan bangunan berjumlah RM18.2 juta.

 

Kumpulan terus mengambil bahagian secara aktif dalam kedua-dua tender kerajaan dan swasta, mengemukakan cadangan pembangunan dan meneroka peluang perniagaan untuk meningkatkan kadar tempahannya.- DagangNews.com