Untung melebihi jangkaan, CGS-CIMB naik taraf saranan saham Salcon kepada ‘pegang’ | DagangNews Skip to main content

Untung melebihi jangkaan, CGS-CIMB naik taraf saranan saham Salcon kepada ‘pegang’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Keuntungan bersih utama yang dicatatkan Salcon Berhad pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) iaitu RM6.3 juta melebihi jangkaan CGS-CIMB Research yang meramalkan kerugian bersih RM2.6 juta. 

 

Susulan itu, firma berkenaan menaik taraf saranan ke atas saham Salcon daripada ‘kurangkan’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada kadar RM0.22 sesaham. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, unjuran hasil Salcon bagi FY21, FY22 dan FY23, masing-masing ditingkatkan dengan lonjakan besar kepada RM604 juta, RM623 juta dan RM640 juta bagi mencerminkan sumbangan pendapatan daripada perniagaan sarung tangan. 

 

Ini sekali gus mengurangkan gangguan dalam pembilan pembinaan Salcon bagi 2HFY21 ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan PKP Diperketatkan (PKPD) pada Jun hingga Julai. 

 

“Kami juga menyemak semula keuntungan bersih pada FY21 sebanyak RM11 juta daripada kerugian bersih RM2.6 juta, keuntungan bersih pada FY22 sebanyak RM12.2 juta daripada RM0.9 juta keuntungan bersih dan keuntungan bersih pada FY23 sebanyak RM14.9 juta daripada RM2.2 juta keuntungan bersih, sebelum ini,” jelas beliau dalam satu nota kajian.

 

Penyumbang utama kepada prestasi Salcon bagi tempoh berkenaan adalah daripada cabang pembuatan sarung tangan kumpulan dan pengambilalihan Engineering and Medical Technologies Sdn Bhd (JREMT).

 

Bagi Sharizan, prestasi itu bagaimanapun bukan satu kejutan besar kerana segmen seperti pembinaan dan hartanah terjejas teruk akibat ‘lockdown’ yang berpanjangan dan prosedur operasi standard (SOP) di tapak pembinaan yang lebih ketat.

 

Sebagai rekod, pengambilalihan JREMT telah dilengkapkan pada 12 Mac lalu, sekali gus menyumbangkan hasil RM15.5 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.3 juta pada suku pertama FY21 (1QFY21).

 

Hasil daripada segmen sarung tangan menyumbang sehingga 72% daripada jumlah hasil kumpulan bagi 1HFY21 dan 77% atau sebanyak RM15.2 juta daripada keuntungan sebelum cukai Salcon. 

 

“Risiko kenaikan adalah perolehan lebih banyak kontrak, dan risiko penurunan adalah perolehan yang lebih lemah,” tambah Sharizan. - DagangNews.com