KUALA LUMPUR 14 Sept - UOB Malaysia menerima kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia (UOB) untuk mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citi di Malaysia yang dijangka selesai pada suku keempat ini.
Berikutan kelulusan tersebut, UOB Malaysia dan Citi Malaysia akan memohon Perintah Letak Hak daripada Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan aset dan liabiliti perbankan pengguna Citi kepada UOB Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pengambilalihan itu akan meningkatkan lagi keyakinannya terhadap potensi jangka panjang negara setelah lebih 70 tahun bergerak seiring perkembangan Malaysia.
Katanya, perniagaan pengguna Citi di Malaysia, dan juga di pasaran lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam akan memantapkan lagi kedudukan serantau UOB, sekali gus memanfaatkan semua pelanggan UOB dengan menyediakan kesalinghubungan dan pengiktirafan jenama yang lebih tinggi.
“Pengambilalihan ini juga akan meningkatkan skala perniagaan runcit kami melalui portfolio dan ekosistem rakan kongsi yang diperluaskan.
"Selain itu, jangkauan UOB Malaysia kepada pelanggan akan diperkukuh melalui rangkaian cawangan dan titik sentuh digital yang lebih luas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 14 Januari lalu, UOB dan Citigroup mengumumkan cadangan pengambilalihan yang akan menyaksikan semua perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi Malaysia akan dipindahkan ke UOB Malaysia.
Ini termasuklah semua kakitangan perbankan pengguna Citi Malaysia yang berkaitan dan juga kakitangan sokongannya dijangka berpindah ke UOB Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif City Malaysia, Usman Ahmed pihaknya akan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan pengguna sehingga proses jualan yang selebihnya dilengkapkan dengan tarikh pemindahan yang sah akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Katanya, Citi kekal komited kepada Malaysia dan akan melabur lebih banyak lagi dalam francais pelanggan institusi terkemuka bagi membantu pelanggan di Malaysia berkembang di dalam dan luar negara.
"Citi memberi jaminan kepada pelanggan perniagaan perbankan pengguna dan kekayaannya bahawa peralihan kepada UOB akan berjalan lancar dan mereka akan terus mendapat manfaat daripada perkhidmatan dan produk yang serupa dengan apa yang dinikmati daripada Citi pada masa ini," jelasnya. - DagangNews.com