UOB Malaysia perkenal aplikasi perbankan AI pertama negara, Mighty Insights | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia perkenal aplikasi perbankan AI pertama negara, Mighty Insights


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. – United Overseas Bank (Malaysia) Berhad (UOB Malaysia) melancarkan ‘Mighty Insights’, perkhidmatan perbankan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di negara ini.

Perkhidmatan digital itu membolehkan pelanggan menguruskan kewangan dengan lebih mudah dan pintar melalui aplikasi perbankan mudah alih semua dalam satu, UOB Mighty.

Menerusinya, ia membolehkan pelanggan menerima petunjuk (insight) yang disesuaikan berdasarkan corak perbankan dan perbelanjaan mereka, selain menjejaki dan menguruskan simpanan dan perbelanjaan dengan mudah.

Mighty Insights juga akan membimbing pelanggan untuk mendapatkan penyelesaian kewangan berkaitan yang memenuhi keperluan kewangan mereka.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, Mighty Insights adalah satu lagi contoh bagaimana pihaknya memanfaatkan teknologi untuk menjadikan perbankan lebih menarik dan peribadi kepada pelanggan.

 

Ronnie Lim
                                                                                            Ronnie Lim

 

“Teknologi akan terus memperbaiki cara kita menguruskan kewangan.

“Sehubungan itu, kami memperkenalkan Mighty Insights yang dapat menjangkakan keperluan perbankan pelanggan kami di samping menawarkan penyelesaian kewangan paling sesuai untuk membantu mereka menjimatkan wang dan berbelanja dengan bijak.

“Setiap petunjuk yang disesuaikan adalah berdasarkan tabiat perbelanjaan dan tingkah laku perbankan pelanggan. Dikuasakan oleh AI dan pembelajaran mesin, Mighty Insights membolehkan pelanggan menjejaki perbelanjaan harian mereka dan juga melihat kategori perbelanjaan paling kerap dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi bantuan petunjuk itu, Mighty Insights juga memberi cadangan untuk meningkatkan simpanan dan mengurangkan hutang, justeru membantu pelanggan mengawal kewangan mereka dengan lebih baik.

mighty

Mighty Insights menggunakan analisis data lanjutan, pembelajaran mesin dan algoritma pengecaman corak untuk menentukan panduan terbaik yang boleh disediakan kepada para pelanggan di peringkat kehidupan berbeza selain mempunyai pelbagai keperluan kewangan dan keutamaan gaya hidup.

Dalam pada itu, Malaysia merupakan pasaran kedua untuk melancarkan Mighty Insights.

Petunjuk yang dikeluarkan Mighty Insights itu boleh didapati di skrin utama UOB Mighty di mana pelanggan dapat melihatnya sejurus selepas mereka log masuk ke aplikasi.

Sebagai contoh, melalui Mighty Insights, pelanggan yang melakukan pembayaran secara berkala untuk perkhidmatan berasaskan langganan akan dimaklumkan apabila mereka perlu melakukan pembayaran berikutnya, jika fi langganan telah meningkat atau langganan percubaan mereka sudah berakhir.

Pelanggan juga boleh mengakses gambaran keseluruhan perbelanjaan purata bulanan pada kad mereka yang menunjukkan kategori perbelanjaan yang berlainan sepanjang lima bulan terakhir.

UOB Malaysia telah menguji dan memperhalusi petunjuk yang diperoleh melalui enjin dikuasakan AI dalam projek perintis yang dijalankan selama dua bulan dengan 200 pelanggan.

Aplikasi UOB Mighty boleh dimuat turun dari Google Play, Apple App Store atau Huawei AppGallery.  – DagangNews.com