UOB Malaysia sediakan penangguhan bayaran pinjaman untuk mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia sediakan penangguhan bayaran pinjaman untuk mangsa banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - UOB Malaysia akan menyediakan bantuan termasuk penangguhan bayaran pinjaman kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat yang terjejas akibat bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, bantuan itu bertujuan meringankan bebanan kewangan pelanggan yang terjejas punca pendapatan mereka akibat banjir atau mengalami kerosakan harta benda. 

 

Katanya, antara bantuan yang disediakan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan dan lanjutan tempoh bayaran balik pinjaman.

 

"Kami akan menyesuaikan pilihan pembayaran balik pinjaman dan juga bantuan yang dapat memenuhi keperluan mereka dalam menghadapi situasi yang sukar seperti ini agar dapat mengurus kewangan dengan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selain itu, UOB Malaysia akan mengetepikan caj tertentu bagi perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit dan kredit atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir. 

 

Bank juga akan mengetepikan caj pembayaran lewat kad kredit untuk pelanggan yang terjejas.

 

Pelanggan yang memilih program bantuan UOB Malaysia boleh melayari laman web di uob.com.my untuk menghantar permohonan mereka secara dalam talian. 

 

Pelanggan individu juga boleh menghubungi talian khusus Bank yang beroperasi 24 jam di 03-2612 8121, manakala perniagaan kecil boleh menghubungi Talian Perbankan Perniagaan UOB di 03-2616 6800. - DagangNews.com