DEAN TONG (kiri) optimis terhadap prospek ekonomi pada tahun ini.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Mac – United Overseas Bank Limited (UOB) hari ini mengumumkan pelancaran inisiatif kenaikan gaji dan pangkat untuk semua kakitangan yang layak di seluruh kumpulan itu menjelang Jun depan.
Inisiatif kenaikan gaji dan pangkat secara meluas itu akan merangkumi sehingga 98% daripada jumlah keseluruhan kakitangan kumpulan di rantau ini termasuk Malaysia, China, Indonesia, Thailand dan Vietnam, namun tidak termasuk pengurusan kanan, jelas bank itu.
Ketua Sumber Manusia Kumpulan UOB, Dean Tong berkata, bermula dengan pemulihan yang mula kelihatan pada akhir tahun lepas seterusnya menunjukkan pertumbuhan baik melangkah ke tahun baharu, UOB masih berdaya tahan.
“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketabahan, semangat berpasukan yang teguh serta keazaman kakitangan kami.
“Di UOB, kakitangan kami didahulukan. Prinsip asas kami adalah untuk menjaga kesejahteraan kakitangan, justeru kami komited melakukan yang sebaiknya bagi memastikan keperluan profesional dan peribadi mereka dipenuhi.
“Melalui inisiatif kenaikan gaji dan pangkat pertengahan tahun ini, kami menunjukkan penghargaan kepada warga kerja yang memberikan prestasi terbaik setiap hari dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan juga bank dalam tempoh yang sangat mencabar,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
UOB dalam kenyataan sama memberitahu, hasrat bank untuk melancarkan inisiatif berkenaan pada pertengahan tahun, lebih awal daripada program tahunan pada perhujung tahun ini, menandakan keyakinan bank terhadap pemulihan ekonomi yang berterusan pada 2021.
Melalui inisiatif itu, UOB juga mengiktiraf usaha gigih tenaga kerjanya seramai 26,000 orang dalam membantu para pelanggan dan bank muncul lebih teguh berikutan krisis COVID-19.
Dari segi bayaran pampasan berasaskan prestasi (pay-for-performance) bank, kakitangan berprestasi tinggi di seluruh kumpulan itu akan menerima kenaikan gaji yang melebihi purata pasaran.
Kenaikan gaji itu juga adalah berikutan pembayaran awal bonus prestasi 2020 UOB yang diterima oleh kakitangan pada bulan lepas, jelas bank itu lagi.
Tambah UOB, sebagai sebahagian daripada pendekatan bayaran berasaskan jawatan (pay-for-position) bank, kenaikan pangkat pada pertengahan tahun akan diberikan kepada individu yang mempunyai skop pekerjaan lebih luas selain menjangkaui jangkaan prestasi sepanjang 12 bulan yang lepas.
Pada tahun lepas, apabila ekonomi dan perniagaan menghadapi kesukaran berikutan kesan buruk COVID-19, UOB menangguhkan kenaikan gaji dan pangkat untuk melindungi pekerjaan dan punca pendapatan kakitangannya.
“Bank akan terus mengambil pendekatan yang berhemah dan berdisiplin untuk menguruskan perniagaannya, oleh itu, kajian semula pakej pampasan untuk pengurusan kanan akan dipertimbangkan pada fasa berikutnya,” jelas bank itu. - DagangNews.com