KUALA LUMPUR 19 Sept – UOB Malaysia akan bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk melancarkan program U-Green Financing bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjayakan usaha kemampanan.
Ini menyaksikan UOB Malaysia memperuntukkan RM1 bilion untuk program tersebut manakala SJPP akan menjamin sehingga 80% daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Kerajaan Pemulih (PGGS) .
Di samping menyediakan pembiayaan, UOB Malaysia juga akan bekerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk memperkenalkan siri bengkel berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbangga dengan usaha sama dengan SJPP dan MRANTI, yang memainkan peranan penting dan saling melengkapi dalam menyokong penerimaan ESG oleh PKS.
Katanya, bengkel anjuran MRANTI akan membantu PKS memperoleh pengetahuan yang diperlukan dalam penerimaan ESG, manakala kerjasama dengan SJPP akan menyediakan sokongan pembiayaan untuk membantu mereka memulakan usaha kemampanan.
“Kami berbesar hati menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan SJPP dalam melancarkan program pembiayaan hijau untuk PKS.
"Dengan menjadikan pembiayaan hijau lebih mudah diakses, kami berharap ia dapat menggalakkan PKS menerima amalan perniagaan yang mampan sekali gus meningkatkan profil ESG, terutamanya jika mereka berminat untuk menyertai dan bersaing dalam rantaian nilai global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain U-Green Financing, UOB Malaysia juga merupakan Institusi Kewangan Peserta bagi Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia, serta Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau.
Siri bengkel yang dirancang dengan MRANTI akan menggabungkan pengajaran dalam kelas, bengkel menggunakan kajian kes sebenar, serta bimbingan praktikal yang memberi pemahaman tentang amalan terbaik ESG kepada peserta.
Setelah selesai kursus berkenaan, para peserta akan menerima sijil daripada MRANTI termasuk pengesahan daripada rakan kongsi latihan yang diluluskan. Ini membolehkan peserta menggunakan pengetahuan mereka untuk melanjutkan pembelajaran dalam kursus ESG rasmi yang lain.
Sementara itu, Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng, Pegawai Utama SJPP berkata, cadangan kerjasama itu adalah selaras dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Katanya, SJPP, melalui skim jaminannya, komited dalam menyokong usaha kerajaan menggiatkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor PKS.
"Pelbagai inisiatif dan polisi strategik dilaksanakan dengan tujuan merangsang dan membangunkan peluang perniagaan untuk sektor ini.
"Kami berharap U-Green Financing akan menggalakkan penerimaan amalan ESG oleh lebih banyak PKS dan syarikat korporat bersaiz sederhana selain mengurangkan jejak karbon mereka," katanya. - DagangNews.com