UPM adakan Program Pendidikan dan Pertanian Putra di Mukim Rimba Terjun Pontian 24 Mac 2022  | DagangNews Skip to main content

UPM adakan Program Pendidikan dan Pertanian Putra di Mukim Rimba Terjun Pontian 24 Mac 2022 

Program yang dikendalikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UPM) akan membawa 80 pegawai UPM dalam pelbagai bidang kepakaran.
Oleh MAHANI AMAT @ HALIMI

SERDANG 23 Mac – Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan 6, Kampung Sungai Bunyi, Mukim Rimba Terjun akan mengadakan Program Pendidikan dan Pertanian Putra pada 24 hingga 26 Mac 2022 ini.

 

Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan pertanian dan pendidikan dalam kalangan komuniti Mukim Rimba Terjun khususnya dan Pontian amnya.

 

Selain itu, program yang akan dilaksanakan beberapa fasa ini diharapkan dapat memberikan impak kepada komuniti melalui siri pemindahan ilmu dari menara gading ke lapangan.

 

Program ini akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Sungai Bunyi dengan pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk komuniti Mukim Rimba Terjun.

 

Antara aktiviti adalah pendidikan kesihatan, pertanian seperti pengurusan tanaman kelapa sawit, cilik pertanian, demonstrasi cantuman pokok, pertanian bandar, penyediaan kompos, aquaponik, jualan anak pokok dan banyak lagi.

 

Turut diadakan aktiviti yang dikhaskan untuk kaum wanita ialah demonstrasi masakan bertemakan nanas dan pertandingan masakan yang bertemakan masakan jawa.

 

Komuniti yang mempunyai haiwan kesayangan seperti kucing, UPM turut memberikan perkhidmatan secara percuma untuk pemeriksaan am haiwan kesayangan kucing melalui Klinik Bergerak Veterinar.


 

UPM
Pameran dan promosi program akademik UPM juga akan diadakan.

 

UPM
Pameran berkaitan pertanian untuk komuniti setempat.

 

UPM
Program Cilik Pertanian mendekatkan anak kecil dengan alam sekitar.

 

UPM
Penglibatan pelajar SK Sungai Bunyi, Pontian dalam program bersama UPM secara maya pada 23 Februari 2022.

 


Program yang dikendalikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UPM) akan membawa 80 pegawai UPM dalam pelbagai bidang kepakaran untuk menyantuni komuniti di Pontian. Komuniti juga berpeluang untuk mendapatkan khidmat nasihat di lapangan melalui Klinik Pakar Pertanian di Bas Pengembangan Putra.

 

Bagi pelajar-pelajar lepasan SPM/STPM adalah dialu-alukan untuk hadir di program ini kerana UPM turut akan mengkongsikan tip untuk sambung belajar di UPM.

 

Selain itu, beberapa agensi di daerah Pontian seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Pejabat Pertanian Daerah Pontian, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan PERKESO turut terlibat dalam aktiviti pameran yang disediakan.

 

Program ini adalah percuma dan setiap komuniti yang hadir pada slot pemindahan ilmu akan diberikan sijil penyertaan serta berpeluang untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah bagi pengunjung yang terpilih.

 

Pada tahun ini, UPM telah merangka untuk mengadakan lima program seumpama ini di zon yang berbeza seperti di kawasan utara, pantai timur, tengah dan Borneo. Ini bagi memastikan setiap komuniti berpeluang untuk disantuni oleh warga kampus UPM. – DagangNews.com