UPM capai 99.4% kebolehpasaran graduan, bukti keupayaan lahirkan graduan mengikut permintaan industri | DagangNews Skip to main content

UPM capai 99.4% kebolehpasaran graduan, bukti keupayaan lahirkan graduan mengikut permintaan industri

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencapai 99.4% kebolehpasaran graduan pada tahun 2023 membuktikan keupayaan universiti dalam melahirkan graduan berdasarkan permintaan industri.

 

Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata pencapaian ini membuktikan komitmen universiti dalam memastikan graduan UPM bukan hanya kukuh dengan pengetahuan akademik malah mempunyai kemahiran insaniah yang selari dengan kehendak industri.

 

“Pencapaian ini adalah adalah sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan holistik untuk berdaya tahan serta bersedia menyediakan graduan berketerampilan dan berupaya untuk menghadapi cabaran kebolehpasaran yang kini sangat kompetitif,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM 2024 baru-baru ini.

 

 

Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah
          Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah

 

 

Pada majlis itu, Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan turut menyampaikan Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Fakulti 2023 kepada Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), serta UPM Kampus Bintulu (UPMKB) yang masing-masing mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 100%.

 

Dalam pada itu, UPM turut memberi penghargaan melalui Anugerah Kebolehkerjaan Graduan Terbaik (Dalam Bidang Pengajian) 2023 kepada FPV yang meraih tempat pertama dengan 91.1% graduan bekerja dalam bidang pengajian mereka.

 

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dengan 85.6%, dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), 80.5%.

 

FPV turut menerima Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Keseluruhan 2023 kerana menunjukkan prestasi cemerlang kerana 91.1% peratusan graduan bekerja dalam bidang pengajian.

 

Sementara itu, Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM 2024 yang berlangsung selama dua hari telah dianjurkan bersama  Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS)  disertai 26 majikan yang menawarkan 1,269 jawatan kosong dan 536 tempat untuk latihan industri.  - DagangNews.com