UPM jalin kerjasama dengan 4 rakan industri tingkatkan kepentingan nanoteknologi | DagangNews Skip to main content

UPM jalin kerjasama dengan 4 rakan industri tingkatkan kepentingan nanoteknologi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) menjalin kerjasama bersama empat rakan industri dengan memeterai memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosi dan membangunkan produk nanoteknologi.

 

Kerjasama strategik ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan nanoteknologi dalam masyarakat serta menggalakkan penggunaan nanoteknologi sebagai sumber alternatif dalam bidang sains, pembuatan, pertanian, kesihatan dan alam sekitar.


 
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, jalinan antara industri ini akan membuktikan bahawa UPM sentiasa menyokong matlamat negara dalam bidang nanoteknologi.

 

Beliau berkata, perkara ini selaras dengan The National Nanotechnology Policy and Strategy (DSNN) 2021-2030 untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi. 

 

"Kita mahu terlibat sama membangunkan negara yang dinamik dan ekosistem nanoteknologi progresif serta menonjolkan potensi nanoteknologi untuk menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh negara.

 

"Terima kasih kepada semua syarikat yang mengambil bahagian atas minat mendalam dan sokongan yang mengagumkan untuk pembentukan intelektual bidang nanoteknologi di UPM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Roslan, kepercayaan kerjasama ini juga adalah hasil pencapaian kecemerlangan yang ditonjolkan oleh keupayaan dan kualiti akademik di UPM. 

 

 

upm

 

 

Sementara itu, Pengarah ION2 UPM, Prof Dr Mohd Nizar Hamidon pula berkata, MoU ini merupakan antara usaha untuk memperkasakan bidang nanoteknologi yang dapat membantu penyelidik menterjemahkan teknologi dan inovasi sebagai produk berdaya maju di pasaran.


 
“Melalui MoU ini kami berharap komitmen semua pihak akan dapat mewujudkan model baharu produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) nano dan menjadi rujukan kepada penyelidik lain,” katanya.

 

Kerjasama ini melibatkan empat rakan industri diwakili oleh Pengarah Eksekutif Newton Eco Technology Sdn Bhd, Dr. Nicole Szeto; Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan Mitsui Chemicals Singapore R&D Centre Pte Ltd, Dr Eiji Watanabe; Ketua Pegawai Eksekutif Serdang Paste Tech Sdn Bhd, Muhammad Asnawi Mohd Kusaimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Qarbotech Sdn Bhd, Chor Chee Hoe. - DagangNews.com