SERDANG 11 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan Minggu Perkasa Putra Sesi 2021/2022 pada hari ini secara dalam talian dengan ucapan dan amanat oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.
Prof. Dr. Mohd. Roslan berharap agar warga UPM tidak mengeluh tentang keadaan pandemik yang sedang dihadapi, malah bersama bangkit serta berganding bahu dengan memberi idea dan saranan sebagai manifestasi kecaknaan untuk bersama-sama mencemerlangkan universiti.
Ia adalah selaras dengan gagasan “Mengema seruan Al Falah dari Menara Ilmu” yang diperkenal beliau pada awal tahun 2021 melalui Naratif Naib Canselor UPM.
Selain itu, beliau yakin dengan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh warga UPM, keadaan pandemik akan berjaya diharungi dengan baik serta percaya cabaran yang sedang dilalui kini adalah ujian untuk menilai keupayaan dan kemampuan sebenar universiti.
Simbolik penyerahan peranti telah dibuat melalui ucapan saudara Muhammad Huzaifi Ismut, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM mewakili lebih 200 pelajar yang telah dan akan menerima sumbangan peranti berupa komputer riba.
Sumbangan komputer riba tersebut adalah hasil usaha dan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP); Pusat Perhubungan Alumni; Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM (WAZAN); Pejabat Bursar serta penyumbang-penyumbang luar seperti PC-Soft Sdn. Bhd., Yayasan Tunku Abdul Rahman, TMJ Travel and Tours dan sumbangan alumni yang prihatin.
Pelajar-pelajar baharu sesi 2021/2022 turut mengangkat ikrar sebagai pelajar baharu secara dalam talian diketuai oleh pelajar Bacelor Sastera Kesusasteraan Inggeris dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Muhammad Syazni Hanif Mohd Rafi, seorang pelajar autisme serta wakil-wakil pelajar yang datang dari pelbagai latar belakang sebagai tanda kesamaan hak dan inklusiviti di UPM sebagai Menara Ilmu.
Program Minggu Perkasa Putra merupakan aktiviti tahunan khusus di bawah kelolaan entitientiti di bawah naungan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) UPM bagi meraikan pelajar-pelajar baharu setiap tahun.
Pelbagai program dan pengisian yang dijalankan bermula 11 hingga 15 Oktober antaranya slot ucapan Naib Canselor, Ikrar Pelajar Baharu, Taklimat PUTRA VID, Taklimat Badan Beruniform, Slot Bersama Pengetua Kolej Kediaman, Taklimat Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa.
Selain itu turut diadakan ialah Taklimat Fakulti & Pendaftaran Kursus, Taklimat Meal Plan, Perpustakaan, Bahagian Keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti, Bersama Majlis Perwakilan Pelajar, Slot Kenali UPM, Talk Show 4C2U iaitu Perkongsian Ikon Alumni UPM –PKPP, CEM, Pusat Perhubungan Alumni & Pusat Sukan, Slot Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Slot Nilai Murni Seorang Mahasiswa, Slot Pembangunan Kendiri & Kesihatan Mental Pelajar oleh Bahagian Kaunseling UPM dan lain-lain lagi.
Program Minggu Perkasa Putra 2021/ 2022 diharap akan dapat membantu pelajar baharu untuk mengenali UPM secara lebih dekat walaupun dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya pada tahun ini. – DagangNews.com
BACA JUGA: UPM bangunkan program ijazah pertanian berteknologi tinggi, kata Ahmad Masrizal