UPM selaras misi bantuan kemanusiaan, optimumkan bantu mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

UPM selaras misi bantuan kemanusiaan, optimumkan bantu mangsa banjir

Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman bersama sukarelawan PUTRA Cakna menyediakan bekalan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

 

 

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 


SERDANG 22 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyelaraskan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa yang memerlukan sumbangan serta terkesan akibat bencana banjir yang berlaku di negara ini.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, inisiatif UPM mewujudkan Bilik Operasi Bantuan Banjir (BOBB) di Kolej Canselor, UPM adalah untuk menyelaras semua inisiatif bantuan dan penyediaan sukarelawan PUTRA Cakna oleh UPM bagi kawasan-kawasan yang terkesan di sekitar Selangor.

 

“UPM telah menyediakan keperluan asas yang diperlukan oleh mangsa banjir untuk diedarkan kepada warga UPM yang sedang menghidapi musibah banjir dan pihak kami telah terima banyak sumbangan daripada individu serta warga UPM sendiri,” katanya.

 

Tambah beliau, dengan pengedaran bantuan itu dapat membantu mengurangkan bebanan warga UPM dan komuniti yang menjadi mangsa banjir.

 

Inisiatif PUTRA Cakna turut mengadakan perancangan, persediaan dan pelaksanaan BOBB, UPM dengan mewujudkan tabung bagi pelbagai pihak yang ingin menyumbang bagi bantuan barang basah, barang keperluan kering dan logistik.

 

Selain itu, sukarelawan yang terdiri dari staf dan pelajar UPM turun padang untuk menyalur khidmat bakti dengan membantu mangsa banjir yang terkesan. Sehingga kini, 250 pelajar dan 50 staf UPM telah mendaftar sebagai sukarelawan. 

 

Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad akan turut bersama pasukan UPM pada 23 Disember 2021 (Khamis) untuk mengedarkan bantuan mangsa banjir di sekitar Puchong, Subang, Petaling dan Sg. Buluh.


 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 


UPM turut mengalu-alukan sumbangan daripada warga UPM dan orang awam serta boleh menghubungi Sekretariat BOBB UPM, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah atau En. Khairul Jusoh@Yusof di talian 03-97697505 untuk menyalurkan bantuan.

 

Inisiatif ini adalah seiring dengan hala tuju Universiti merujuk kepada Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang menyokong penerapan nilai murni pada Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang serta kesejahteraan komuniti setempat pada Matlamat ke-3: Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat. - DagangNews.com