Urus niaga hartanah diunjur pulih secara berperingkat pada FY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Urus niaga hartanah diunjur pulih secara berperingkat pada FY23 - AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - AmInvestment Bank Research mengujurkan pemulihan secara berperingkat bagi jumlah urus niaga hartanah pada FY23 dengan permintaan menjadi lebih kukuh selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Firma itu berkata, keadaan itu dapat dibuktikan selepas jualan kekal stabil pada 1HCY22 selepas tamat Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

 

Katanya, jualan hartanah dan unit pangsapuri servis juga tidak menunjukkan penurunan pada 1QCY22. 

 

"Selepas mengambil kira pelbagai cabaran dalam sektor itu termasuk kenaikan harga barang binaan, kekurangan tenaga pekerja dan kenaikan kadar faedah, kami merasakan ia sudah mula mencatatkan penurunan sejak April 2022.

 

"Dengan penurunan secara berperingkat untuk bahan binaan bangunan dan kekurangan tenaga pekerja, kami menjangkakan keadaan akan menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyukai pemaju dengan kunci kira-kira yang sihat dan aliran tunai yang mencukupi untuk menyokong perolehan kumpulan sambil mengekalkan perniagaan mereka semasa kemerosotan industri.

 

Firma itu juga memilih pemaju dengan pendedahan tinggi dalam segmen perumahan mampu milik terutamanya di lokasi strategik.

 

Pilihan utama firma itu adalah Sunway (beli: nilai wajar (FV) RM2.29) kerana jenamanya yang kukuh selain kejayaannya dalam pelbagai segmen termasuk penjagaan kesihatan selain nilai kontrak yang stabil.

 

"Kami juga memilih Lagenda (FV RM1.82) kerana tumpuannya terhadap perumahan mampu milik di negeri yang mempunyai populasi B40 dan M40 yang besar.

 

"Kami juga menyukai Mah Sing (FV 86 sen) kerana kekuatannya dalam pembangunan perumahan mampu milik di lokasi strategik dan model perniagaan pemulihan pantasnya," katanya.

 

Bagaimanapun, stagflasi boleh membawa kepada pengangguran yang lebih tinggi dan berisiko menurunkan permintaan hartanah selain potensi pandemik baharu yang boleh menjejaskan operasi perniagaan serta kemajuan pembinaan.

 

"Sebarang gangguan rantaian bekalan akan menjejaskan fasa pemulihan ekonomi dan meningkatkan kos bahan binaan selain menjejaskan unjuran pendapatan pemaju hartanah," katanya. - DagangNews.com