Urusharta Jamaah tebus sukuk bernilai RM200 juta pada Januari 2023, Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

Urusharta Jamaah tebus sukuk bernilai RM200 juta pada Januari 2023, Laporan Ketua Audit Negara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), syarikat tujuan khas (SPV) yang ditugaskan bagi mengambil alih dan memulihkan aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang kurang berdaya saing, menebus sukuk bernilai RM200 juta pada Januari lalu. 

 

Penebusan yang dilakukan pada 26 Januari adalah 'bagi mengurangkan kos sukuk keseluruhan yang perlu ditanggung oleh kerajaan, berbanding penebusan penuh pada harga tinggi pada tarikh matang', kata Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan kerajaan persekutuan 2022.

 

Walaupun UJSB telah membuat penebusan awal, jaminan kerajaan persekutuan untuk syarikat itu meningkat 4.1% pada 2022 kepada RM22.4 bilion berbanding RM21.526 bilion.

 

Pada 2019, UJSB menerbitkan sukuk dengan nilai prinsipal RM10 bilion dan hasil hingga matang sebanyak 4.05%. Mereka juga menerbitkan sukuk 10 tahun nilai RM9.6 bilion dan YTM sebanyak 4.1%.

 

UJSB mengeluarkan kertas itu, dan wang tunai RM300 juta kepada TH, sebagai pertukaran untuk 29 hartanah termasuk tanah dan bangunan komersial; satu syarikat perladangan tidak tersenarai; dan saham dalam 106 syarikat tersenarai; kesemuanya bernilai RM10 bilion pada akhir 2018.

 

Urus niaga itu dibuat bagi mengkuhkan kedudukan kewangan TH, kerana ia berada dalam kedudukan liabiliti bersih, yang menyebabkan ia secara perlembagaan tidak dapat membayar dividen kepada pencarumnya pada masa itu.

 

Perjanjian itu menaikkan kedudukan aset bersih TH, manakala UJSB diberi mandat 10 tahun bagi menyusun semula aset yang diperoleh dan memaksimumkan nilai pemulihan aset, sambil meminimumkan impak kepada ekosistem kewangan dan menghasilkan rancangan menyelamat TH.

 

Menurut laman webnya, nilai aset bersih (NAB) pelaburan UJSB berjumlah RM7.12 bilion pada akhir 2022, manakala nilai pasaran hartanah di bawah pengurusan berjumlah RM1.22 bilion.

 

Pada September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan akan memulakan perbincangan untuk memulangkan aset yang kini dipegang oleh SPV kepada TH, "selepas pertimbangan yang teliti".

 

Aset bersih TH meningkat kepada RM3.29 bilion pada akhir 2021, daripada RM1.055 bilion pada akhir 2018. 

 

Ia membayar RM2.65 bilion dalam “hibah” (pemberian pemilikan harta daripada satu pihak kepada pihak lain tanpa sebarang balasan) pada 2023, meningkat daripada RM2.46 bilion tahun sebelumnya, sambil mengekalkan kadar keuntungan 3.1%. - DagangNews.com