Usaha sama Funding Societies-foodpanda salur pembiayaan digital kepada PMKS | DagangNews Skip to main content

Usaha sama Funding Societies-foodpanda salur pembiayaan digital kepada PMKS

Sayantan Das (kiri) dan Wong Kah Meng

 

KUALA LUMPUR 28 Mei – Funding Societies Malaysia, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, bersama-sama foodpanda, peneraju platform penghantaran atas talian, mengumumkan satu usaha sama strategik untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan digital jangka pendek bagi rakan niaga dalam rangkaian foodpanda.

 

Usaha sama tersebut yang telah berjaya menyalurkan RM1 juta secara keseluruhan, membolehkan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan mendapat lebih akses kepada peluang pembiayaan perniagaan.

 

Ini adalah supaya PMKS dapat memudahkan keperluan operasi perniagaan, memperluaskan perniagaan, di samping memastikan kelangsungan PMKS terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan dari pandemik ketika ini.

 

Antara 20,000 hingga 30,000 rakan niaga dari pelbagai segmen di dalam rangkaian foodpanda dijangka menerima manfaat daripada penyelesaian pembiayaan bersesuaian yang ditawarkan oleh Funding Societies.

 

Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, berkata, pihaknya didorong oleh tujuan bersama foodpanda untuk memberi lebih sokongan kepada sektor PMKS yang pastinya paling terjejas dalam cabaran ekonomi yang berpanjangan ini.

 

Menerusi kerjasama ini beliau berkata, rakan niaga dalam rangkaian luas mereka akan memperoleh penyelesaian pembiayaan jangka pendek, tanpa cagaran, dengan manfaat tambahan iaitu pengalaman aplikasi penuh atas talian yang serba pantas dan lancar.

 

Malah ujarnya, jumlah pembiayaan RM1 juta yang telah berjaya dicapai sehingga kini khusus menerusi usaha sama ini adalah bukti keyakinan PMKS terhadap pembiayaan digital sebagai pilihan pembiayaan berdaya maju, seterusnya mengukuhkan lagi komitmen pihaknya dalam berkhidmat untuk perniagaan yang terpinggir dan terlepas daripada perhatian dari semua segmen.

 

Sayantan Das, Pengarah Urusan foodpanda berkata, seluruh negara telah mengalami waktu yang sukar sepanjang tahun lepas. Kami ingin memastikan bahawa kami dapat menyediakan peluang pembiayaan kepada rakan niaga bagi membolehkan mereka untuk meneruskan kelangsungan perniagaan di sebalik cabaran yang dihadapi.

 

"Usaha sama yang dimeterai bersama Funding Societies ini membolehkan kami menawarkan bantuan pembiayaan yang amat diperlukan oleh rakan niaga kami. Maklum balas yang kami terima daripada rakan niaga kami setakat hari ini juga adalah amat positif, dan kami gembira kerana dapat menjadi sebahagian dari kejayaan perniagaan mereka,” kata beliau.

 

Pembiayaan digital kini menjadi semakin popular di Malaysia disebabkan manfaatnya dalam memberikan keterangkuman kewangan, khususnya untuk PMKS yang sering terpinggir atau terlepas daripada perhatian oleh medium pembiayaan tradisional.

 

Pembiayaan digital bertujuan mengatasi isu-isu lazim dalam proses permohonan sistem kewangan tradisional seperti keperluan cagaran, dokumentasi yang rumit serta tempoh pemprosesan yang lama, seterusnya membolehkan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan secara pantas untuk tujuan mengembangkan perniagaan.

 

Satu kelebihan unik usaha sama ini adalah pra-kelulusan pembiayaan yang ditawarkan oleh Funding Societies, dengan menggunakan maklumat dari pangkalan data PMKS di foodpanda seperti transaksi jualan rakan niaga dalam penilaian kredit mereka.

 

Rakan niaga dalam rangkaian foodpanda yang layak berpeluang untuk menikmati manfaat pembiayaan dari Funding Societies seperti berikut:

  • Pengalaman aplikasi atas talian sepenuhnya
  • Keperluan dokumentasi yang minima
  • Pembayaran pantas setelah mendapat kelulusan (sepantas 3 hari bekerja)
  • Tempoh bayar balik yang fleksibel, sehingga 18 bulan
  • Tiada keperluan cagaran

 

Sebagai sebahagian daripada usaha sama terbabit, Funding Societies turut menawarkan salah satu produk terbaharu mereka, Micro Credit Line kepada rakan niaga foodpanda yang layak.

 

Kemudahan Micro Credit Line ini membolehkan PMKS untuk mendapatkan tempoh kredit pendek antara 30 hingga 90 hari dalam satu-satu masa yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan perniagaan seperti pembelian bahan-bahan, bayaran kepada pembekal, mahupun sebagai dana kecemasan.

 

Untuk maklumat lanjut tentang usaha sama ini, sila layari: https://fundingsocieties.com.my/micro-credit-line/foodpanda - DagangNews.com