Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jun - Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dijangka meraih jualan sebanyak RM6.5 juta melalui aplikasi Mukmin Mart Rider menjelang penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, jumlah jualan tersebut akan diperoleh dengan pendaftaran seramai 5,000 usahawan FAMA melalui aplikasi berkenaan.
"Sehingga kini, aplikasi ini telah berjaya mendaftarkan 300 usahawan FAMA dan 500 orang rider. Manakala seramai 3,000 orang pengguna telah menggunakan aplikasi tersebut.
"Nilai jualan menerusi aplikasi tersebut dari Februari 2021 hingga Mei 2021 telah mencatatkan RM500,000.
"Melangkah kehadapan, Mukmin Pay Sdn. Bhd menyasarkan pada tahun ini untuk meluaskan pendaftaran usahawan di outlet-outlet pemasaran FAMA di seluruh negara. Dijangkakan seramai 5,000 orang usahawan akan mendaftar dengan nilai
jualan berjumlah RM 6.5 juta pada penghujung tahun 2021," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berkaitan lawatan kerja ke Pasar Segar Terkawal (PST) di MyFarm Outlet (MFO) Putrajaya hari ini.
Aplikasi Mukmin Mart Rider merupakan peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan MAFI dengan kerjsama Mukmin Pay Sdn. Bhd. kepada golongan belia.
Belia yang sedang mencari peluang pekerjaan boleh mendaftar sebagai Penghantar Makanan (Rider) melalui aplikasi Mukmin Rider sama ada di Play Store atau di App Store.
Melalui lawatan kerja berkenaan, beliau memberitahu, sebanyak 42 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) dibuka di seluruh negara dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial ataupun “total lockdown” Fasa Pertama bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Ia terdiri daripada 24 buah Pasar Tani Kekal, dua buah MyFarm Outlet (MFO), 14 buah Pusat Operasi FAMA dan 2 buah Agrobazaar berbanding 63 lokasi yang telah dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang lalu.
Tambahnya, lawatan kerja berkenaan diadakan bagi melihat sendiri ketersediaan MFO membekalkan keperluan harian secara online, pre order, delivery serta drive thru khususnya bagi penduduk Putrajaya. - DagangNews.com