Oleh PERBADANAN EKONOMI DIGITAL MALAYSIA (MDEC)
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Di sebuah kedai kecil di Pekan Naka, Kuala Nerang, Kedah, seorang pemuda kelihatan tekun menyusun botol-botol pewangi kereta di atas rak.
Seketika kemudian, dia melihat pula paparan laman web beli belah popular e-dagang, Shopee menerusi komputer riba untuk mengemas kini tempahan yang diterima.
Tidak jauh dari situ, dua pekerjanya sibuk membungkus pewangi-pewangi berkenaan untuk dipos kepada pembeli di seluruh negara.
Berkongsi cerita, Mohd Hazwan Dzulkifli,31, berkata, dia memulakan perniagaan berkenaan sejak bulan Mac tahun lalu ketika kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara untuk membendung penularan COVID-19.
Menariknya, pemuda berkenaan mengakui pada awalnya dia langsung tidak tahu untuk berniaga secara dalam talian.
“Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menyertai kelas Perkhidmatan e-dagang Setempat (PeDAS) anjuran MDEC di Pusat Internet Desa (PID) Kuala Nerang,” katanya baru-baru ini.
Menerusi kelas berkenaan, Mohd Hazwan berkata, dia diajar bagaimana untuk memasarkan produk secara dalam talian, membuat pemasaran digital dan ‘berkenalan’ dengan Shopee oleh tenaga pengajar.
“Pada mulanya agak sukar namun apabila saya sudah membuat pelaburan dengan membeli stok, saya meneruskan kursus berkenaan sehingga mula yakin untuk menjual secara dalam talian,” katanya.
Menurutnya yang berpengalaman menguruskan stesen minyak di pekan kecil berkenaan, setelah mula menjual secara dalam talian, produk berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan.
“Jualan terus bertambah secara konsisten apabila pada bulan September mencecah RM37,000 dan meningkat kepada RM41 000 pada bulan berikutnya dan pada November syarikat berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM48,000,” katanya.
Menurutnya, bulan Disember pula prestasi perniagaannya terus meningkat apabila mereka berjaya meraih RM55,000.
“Permulaan tahun ini juga semakin positif apabila syarikat berjaya mencatatkan rekod tertinggi jualan melebihi RM60,000,” katanya.
Jelasnya yang juga graduan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, prestasi jualan yang memberangsangkan itu menyebabkan pasukannya yang bergerak di bawah label NZ Wanina Enterprise terus agresif melaksanakan perancangan perniagaan.
“Antara yang dilakukan termasuk menyediakan peruntukan bulanan untuk membuat pemasaran digital kerana semakin ramai orang menggunakan platform digital untuk membeli pelbagai barangan keperluan,” katanya.
Mohd Hazwan berkata, dia berterima kasih kepada MDEC yang memilih untuk ‘membuka kelas’ di Kuala Nerang yang terletak agak jauh dari pusat bandar sekaligus memanfaatkan penduduk setempat untuk menambah ilmu perniagaan digital.
“Saya berharap agar lebih ramai usahawan mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan dan buktikan bahawa walaupun beroperasi jauh dari pusat bandar, kita boleh menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan jualan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus PID Kuala Nerang, Mohd. Faizan Mahmood berkata, ketika ini pusat berkenaan melatih seramai 76 orang usahawan untuk beralih ke platform digital.
“Majoritinya peserta di PID ini menjalankan perniagaan makanan tradisional selain ada yang menjadi agen jualan untuk produk sedia ada di pasaran. Oleh itu, latihan yang diberikan membabitkan aspek penulisan di media sosial, membuka laman sosial Facebook untuk perniagaan dan kaedah untuk mula menjual di Shopee,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, sejak dilancarkan dua tahun lalu, PeDAS kini mempunyai 32 pusat di seluruh negara dan telah melatih seramai 3,150 usahawan sehingga November lalu.
“Selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kemakmuran bersama dinikmati pelbagai lapisan rakyat, inisiatif-inisiatif ekonomi digital dilaksanakan MDEC turut memberi fokus kepada usahawan di luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Surina berkata, program PeDAS yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu dapat menyelesaikan masalah kekurangan akses kepada pengetahuan dan panduan untuk mengembangkan perniagaan secara dalam talian yang dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro di luar bandar.
“Mereka diajar untuk memahami kebolehpasaran produk, memberi khidmat dalam strategi penjenamaan dan penggunaan e-dagang supaya lebih berdaya saing di peringkat tempatan dan seterusnya rentas sempadan,” katanya. - DagangNews.com