Usahawan Tekun terjejas banjir dapat moratorium 6 bulan | DagangNews Skip to main content

Usahawan Tekun terjejas banjir dapat moratorium 6 bulan

 

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Tekun Nasional menawarkan Inisiatif Prihatin Banjir kepada usahawannya yang terjejas akibat banjir dengan kemudahan moratorium sehingga 6 bulan. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif itu bagi meringankan beban yang dihadapi mereka sama ada menjejaskan premis perniagaan, kerosakan stok barangan atau pun kediaman.

 

Selain itu, katanya, usahawan yang terjejas ini juga dibenarkan mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan. 

 

"Bagi usahawan Tekun yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, mereka boleh memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas.

 

“Dalam tempoh sukar ini, usahawan seharusnya dibantu bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan dan kelangsungan hidup," katanya dalam kenyatan hari ini.

 

Mereka boleh mengemukakan permohonan di semua Pejabat Tekun Cawangan dengan menyertakan 2 keping gambar premis perniagaan atau rumah yang terlibat bencana serta mendapatkan pengesahan Pegawai Tekun di cawangan berdekatan. 

 

Permohonan boleh dikemukakan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh berlakunya bencana banjir.

 

Maklumat lanjut mengenai inisiatif ini akan diwar-warkan di media sosial Tekun dalam tempoh terdekat.

 

Sejak diwujudkan pada 1998 sehingga 2020, Tekun telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 474,965 orang usahawan bernilai RM6.4 billion di seluruh negara. - DagangNews.com