USIM anjur program perkasakan interaksi pelajar dengan komuniti untuk tangani permasalahan setempat | DagangNews Skip to main content

USIM anjur program perkasakan interaksi pelajar dengan komuniti untuk tangani permasalahan setempat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan program 'Karnival ExploreSTREAM SULAM USIM-STAJA 2023' untuk memperkasakan interaksi pelajar dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah.

 

Program tersebut merupakan kerjasama USIM dengan Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya (STAJA) Seremban, Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban dan Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI).

 

Pengarah Pusat Pengurusan Akademik USIM, Prof Dr Amir Shaharuddin berkata, STREAM (Sains, Teknologi, Agama/Keagamaan, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik) adalah integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dalam penyampaian dan perlaksanaan amali STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk memberi impak yang lebih holistik. 

 

"Implementasi Program Service-Learning Malaysia - University for Society (SULAM) dengan STREAM serta penglibatan masyarakat secara kolektif melalui silibus kokurikulum penggantian.

 

"Ia dilihat dapat memupuk semangat kerjasama, saling melengkapkan, membina pemikiran kritis dan kreatif serta dapat membangunkan kebolehan berkomunikasi dan kepimpinan yang menjadi tunjang dalam kemahiran setiap individu terutamanya dalam mendepani ambang evolusi 4.0," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, seramai 658 pelajar USIM, 1,100 murid Sekolah Kebangsaan Taman Tasik Jaya, 40 murid Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, 30 murid Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Mohd Said dan 80 murid dari sekolah-sekolah jemputan terlibat dengan program itu.

 

 

usim

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Norazam Nayan berkata, program itu bukan sahaja signifikan dalam konteks menarik minat para pelajar untuk meneroka bidang pendidikan dan menceburi bidang pekerjaan berkaitan STREAM, tetapi turut kritikal dalam menyedarkan golongan ibu bapa dan penjaga untuk memberi dorongan dan galakan kepada anak-anak mereka.

 

 

usim

 

 

usim

 

 

SULAM pertama kali dilancarkan pada 2019 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara umumnya ditakrifkan sebagai satu bentuk pendidikan melalui pengalaman yang melibatkan pelajar menjalankan aktiviti bersama komuniti bagi menangani keperluan atau isu yang terdapat di dalam masyarakat. 

 

Konsep SULAM yang mempunyai pelbagai dimensi merangkumi pendekatan kurikulum dan ko-kurikulum menjurus kepada aspek perkhidmatan dan pendidikan bersama masyarakat. - DagangNews.com