KUALA LUMPUR 5 Mei – Produk-produk tempatan Sarawak kini sudah dapat dinikmati penggemarnya di Jepun, menerusi penghantaran pertama yang berlepas melalui laluan laut dari Pelabuhan Kelang pada 29 April lalu.
Jualan itu dijayakan dalam program kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dinamakan Pemasaran Mampan Untuk Komuniti atau Sustainable Marketing for Community DPUB 2020 Sarawak (SMART Community).
Ketua program SMART Community, Syed Yusof Syed Kechik berkata, pProgram ini memberi manfaat kepada seluruh rantaian bekalan produk tempatan Sarawak.
Katanya, dengan inisiatif yang bersesuaian dan bantuan daripada SMART Community, secara tidak langsung para belia akan terdorong untuk mempunyai minat dan berkecimpung dalam industri ini pada masa hadapan.
‘’Ini amat penting kerana TERAJU dan USM ingin meneroka lebih jauh potensi produk Sarawak sebagai prospek eksport yang lebih menguntungkan dan memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa di masa hadapan, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk terus memperkukuhkan sumbangan sektor ini kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Syed Yusof Syed Kechik berkata, TERAJU dan USM berjaya menghantar konsaimen sebanyak 42 karton lada hitam kasar, 42 karton serbuk lada hitam, 21 karton lada sulah serta 21 karton kopi madu kelulut pada siri ini.
Konsaimen ini berlepas melalui laluan laut dari Pelabuhan Kelang pada 29 April lalu. Kesemua SKU disenaraikan untuk tujuan jualan di pelbagai lokasi di bawah dua rangkaian pasar raya di Jepun iaitu Don Quijote (Sapporo, Nagoya, Osaka, Yokohama, Kansai dan Tokyo) dan MaxValu (Toyohashi dan Nagoya).
Menurut beliau lagi, SMART Community juga tidak terkecuali dengan cabaran untuk memasuki pasaran Jepun terutamanya dari segi pembangunan jenama, promosi, pemasaran, padanan perniagaan, pengurusan, logistik dan pematuhan syarat import ke negara itu.
Namun begitu ujar beliau, segala cabaran ini dapat diatasi dengan memanfaatkan kepakaran dari semua pihak dalam program SMART Community melalui pemindahan ilmu, teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Malah, kejayaan produk Sarawak memasuki pasaran Jepun pasti akan memudahkan perluasan pemasaran ke negara lain pula.
‘’Oleh itu, para peserta di bawah program SMART Community perlu mengambil peluang ini dengan memastikan produk mereka sentiasa memenuhi keperluan piawaian ditetapkan bagi menembusi pasaran Jepun yang memang terkenal dengan standard piawaian tinggi,’’ katanya. – DagangNews.com