Vaksin COVID-19 dijangka lonjak permintaan sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 dijangka lonjak permintaan sarung tangan getah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Perkembangan vaksin COVID-19 nampaknya akan memberi 'durian runtuh' sekali lagi buat pengeluar sarung tangan getah, setelah pandemik itu menjadikan permintaan terhadap produk tersebut melonjak berkali ganda.
 

Ini kerana penggunaan vaksin itu akan menjadi sumber permintaan baharu bagi sarung tangan getah sehingga 18 bilion keping setahun dengan mengambil kira 60% daripada 7.5 bilion penduduk dunia akan menerima dua dos vaksin setahun.
 

Menurut Penganalisis RHB Investment Bank Bhd., Alan Lim, sekiranya tempoh perlindungan vaksin sehingga setahun, permintaan sebanyak 18 bilion keping setahun ini akan berulang setiap tahun. 


"Memandangkan setiap kontak dengan seseorang harus menggunakan sepasang sarung tangan getah pakai buang, maka penggunaan vaksin akan meningkatkan penggunaannya kepada 18 bilion keping dalam jangka masa pendek. 


"Malah, ini juga bersamaan dengan 6.8% daripada permintaan global sebanyak 263 bilion keping sarung tangan getah pada 2019," katanya dalam nota kajian hari ini. 


Semalam, Pfizer, syarikat gergasi farmaseutikal mendakwa syarikat itu semakin hampir untuk memohon kelulusan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi membenarkan penggunaan vaksin COVID-19 yang dihasilkannya.


Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, berkata syarikatnya bakal memohon kelulusan penggunaan kecemasan AS bagi vaksin COVID-19 selepas mengumpulkan data keselamatan dan akan diserahkan kepada badan kawal selia negara itu.


Reuters melaporkan Pfizer menjangkakan dapat memenuhi 50 juta dos vaksin tahun ini yang mampu melindungi sehingga 25 juta penduduk dan kemudiannya akan mengeluarkan lagi 1.3 bilion dos pada 2021.  


Sebelum itu, Moderna dan Institut Kesihatan Kebangsaan AS mengumumkan keputusan awal ujian yang hampir sama dengan percubaan mereka lakukan dan mendapati keberkesanan vaksin itu mencapai 95%. 


Selain itu, terdapat juga vaksin lain yang masih di peringkat akhir percubaan, antaranya yang dibangunkan Johnson & Johnson dan Universiti Oxford serta AstraZeneca, yang menggunakan virus yang diubah suai bagi menghantar material genetik bagi tujuan sama.


Malaysia semalam menandatangani perjanjian dengan China untuk bekerjasama terhadap vaksin yang selamat dan berkesan bagi memerangi COVID-19 telah meningkatkan keyakinan dalam kalangan peniaga.


Di bawah perjanjian itu, iaitu untuk tempoh permulaan selama lima tahun, Malaysia akan diberikan akses keutamaan kepada vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh China, perkongsian maklumat dan kepakaran serta memudahkan keupayaan saintifik dan teknologi untuk meningkatkan pembangunan vaksin di kedua-dua negara.


Dengan mengambil contoh penularan wabak influenza, Alan berkata, permintaan sarung tangan getah menurun sedikit pada 2011 selepas wabak itu berakhir antara 2009 dan 2010. 


Permintaan sarung tangan getah jatuh berasaskan tahun ke tahun sebanyak 1.3% atau 2 bilion keping hingga 148 bilion keping setahun. 


"Bagaimanapun, penggunaan vaksin itu sendiri dapat meningkatkan penggunaan sarung tangan getah global sehingga 7%," katanya. 


Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor sarung tangan getah berdasarkan prospek permintaan yang positif dalam tempoh jangka masa panjang. - DagangNews.com