Vaksin COVID-19 jadikan Sahin 500 individu terkaya dunia | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 jadikan Sahin 500 individu terkaya dunia

Ugur Sahin dan isterinya, Ozlem Tureci mula memberi fokus kepada vaksin COVID-19 pada Januari selepas membaca kajian membimbangkan mengenai penularan wabak itu di Wuhan, China. 

 

 

 

NEW YORK 4 Dis. - Ini yang dikatakan rahmat di sebalik musibah. Penemuan vaksin COVID-19 bukan sahaja memberi harapan kepada dunia tetapi meletakkan Ugur Sahin antara 500 individu terkaya di dunia. 

 

Pengasas bersama BioNTech SE itu menyertai senarai berkenaan selepas United Kingdom minggu ini meluluskan penggunaan vaksin yang dibangunkan bersama Pfizer Inc.   

 

Bloomberg melaporkan, saham firma dari Jerman itu melonjak hampir 10% sejak Isnin dan meningkat lebih daripada 250% untuk tahun ini sahaja. 

 

Ini menjadikan Sahin individu ke-493 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan AS$5.1 bilion, menurut Indeks Bilionair Bloomberg. 

 

Rabu lalu, UK muncul negara barat pertama yang meluluskan vaksin COVID-19 sekali gus membuka jalan kepada penggunaan suntikan oleh Pfizer dan BioNTech yang dikatakan mempunyai tahap keberkesanan sehingga 95% dalam mencegah wabak itu. 

 

BioNTech ketika ini masih menunggu kelulusan kawal selia dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah. 

 

Firma tersebut sebelum ini menumpukan kepada usaha memerangi kanser, tetapi Sahin dan isterinya, Ozlem Tureci, yang merupakan ketua pegawai perubatan BioNTech beralih kepada vaksin COVID-19 pada Januari. 

 

Tindakan mereka ini dibuat selepas pasangan ini membaca satu kajian yang membimbangkan mengenai penularan virus ini dalam sebuah keluarga yang telah melawat Wuhan, China. 

 

Hasilnya adalah penemuan jenis ubat baharu yang telah mereka usahakan selama ini.

 

Bulan lalu, Sahin dilaporkan berkata, ia dapat membuka kelas baharu kepada bidang farmaseutikal mengenai molekul. 

 

Saintis kelahiran Turki ini merupakan pemegang saham tunggal dalam firma Jerman yang mengawal 18% kepentingan dalam BioNTech, yang mengumpul AS$150 bilion daripada tawaran awam permulaan di AS, tahun lalu.

 

Sahin menyertai kumpulan Struengmann dari Jerman dalam kalangan 500 terkaya dunia itu. Mereka memiliki kira-kira separuh daripada BioNTech dan sebelum itu, menyokong usaha bioteknologi bersama isterinya menerusi Ganymed Pharmaceuticals AG.

 

Perlumbaan dalam penghasilan vaksin COVID-19 juga telah menarik sekumpulan pelabur daripada pesaing rapat BioNTech, Moderna Inc. 

 

Saham syarikat yang berpangkalan di Cambridge, Massachusetts itu melonjak lebih daripada 650% tahun ini menjadikan pelabur terawalnya jutawan. 

 

Ini termasuklah profesor di Institut Teknologi Massachusetts, Bob Langer dan profesor Unviersiti Harvard, Tim Springer serta Ketua Pegawai Eksekutif, Stephane Bancel, yang memiliki kekayaan bernilai AS$4.7 bilion. - DagangNews.com