Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Pasaran tempatan petang ini melonjak tinggi ditutup kepada 1,628.26 mata setelah menokok 1.85% atau 29.54 mata.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak dalam jajaran antara 1,599.36 hingga 1,628.26 mata dengan 12.37 bilion saham diniagakan bernilai RM6.17 bilion.
Kaunter untung mengatasi rugi pada 907 berbanding 401 manakala 410 kaunter tidak berubah.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0700/0730 berbanding dolar AS, lebih tinggi berbanding penutupan semalam, RM4.0750/0780.
Reuters melaporkan pasaran saham Asia diniagakan bercampur-campur hari ini selepas dagangan semalaman Wall Street yang tidak menentu disebabkan laporan pekerjaan di AS yang mengecewakan.
Dolar AS pula jatuh ke paras rendah dua tahun setengah ekoran meningkatnya keyakinan terhadap vaksin COVID-19.
Britain yang menjadi negara pertama meluluskan vaksin Pfizer dan BioNTech itu dengan 800,000 dos akan memulakan penggunaannya minggu hadapan.
Sementara itu, HLIB Research kekal optimistik tterhadap perkembangan vaksin COVID-19 akan merangsang indeks FBM KLCI melepasi paras tertinggi 1,618.7 mata setakat ini.
"Pelabur juga akan terus beralih daripada saham-saham berkaitan pandemik kepada pemulihan dan meningkatkan peluang kepada pendedahan risiko," katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, indeks FBM KLCI akan tetap bergerak turun naik berubah-ubah dalam zon antara 1,555 hingga 1,618 mata memandangkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) masih memberi kesan kepada ekonomi. - DagangNews.com