Vaksin COVID-19 kembalikan momentum KLCI - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19 kembalikan momentum KLCI - CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Pendedahan syarikat farmaseutikal, Pfizer mengenai penemuan vaksin COVID-19 seolah-olah menyuntik semangat baharu buat pasaran saham di seluruh dunia apabila terdapatnya sinar harapan terhadap pemulihan ekonomi. 

 

Tidak terkecuali, bursa tempatan yang turut menerima tempias laporan positif mengenai vaksin ini apabila kembali pulih setelah 3 bulan hilang momentum. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng berkata, sepanjang November, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 95%, dengan peningkatan 6.5% bulan ke bulan untuk ditutup pada 1,562 mata. 

 

Katanya, pengukuhan ini mengurangkan kerugian yang dialami pasaran tempatan setakat ini kepada 2% bagi tempoh 11 bulan. 

 

Bagi bulan ini, peserta institusi merupakan pembeli bersih terbesar pasaran ekuiti Malaysia apabila mereka menukar sebahagian portfolio daripada saham pengeluar sarung tangan getah kepada kewangan yang dijangka meraih manfaat apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19 pada 2021. 

 

"Ini menyaksikan purata jumlah nilai dagangan harian pada November meningkat 59% bulan ke bulan dan 289% tahun ke tahun kepada 10.7 bilion (berbanding 6.7 bilion pada Oktober) manakala nilai dagangan meningkat 20% bulan ke bulan dan 153% tahun ke tahun kepada RM5.3 bilion (berbanding RM4.4 bilion pada Oktober). 

 

"Dalam tempoh 11 bulan tahun ini, purata nilai dagangan harian berjumlah RM4.2 bilion atau 97% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, RM2.15 bilion," katanya dalam laporan bulanan November hari ini. 
  


Aktiviti dagangan harian pelabur tempatan dan runcit pula masing-masing jatuh 1% bulan ke bulan kepada 45% dan 38%. 

 

Tetapi, penurunan ini diimbangi dengan kenaikan dagangan pelabur asing sebanyak 2% bulan ke bulan kepada 16% pada November. 

 

Menurut Ivy, peningkatan dalam ekuiti melonjakkan nilai pasaran papan utama Bursa Malaysia sebanyak RM124.4 bilion (meningkat 8% bulan ke bulan) kepada RM1.69 trilion setakat akhir November 2020. 

 

Ini lebih kukuh berbanding kenaikan 6.5% KLCI bulan ke bulan.   

 

Bagaimanapun, menurutnya, pada kadar kenaikan itu, KLCI muncul pasaran terburuk pada November dalam kalangan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST).

 

"Thailand muncul pasaran terbaik dengan kenaikan 17.9% bulan ke bulan diikuti Singapura, 15.8% dan Indonesia, 9.4%," katanya. 

 

Beliau berkata, berpandukan kepada data KLCI, pasaran dijangka merekodkan prestasi yang positif pada Disember dengan purata pulangan lebih 2% bulan ke bulan dalam tempoh lebih 10 tahun dan 3.5% bagi tempoh lebih 40 tahun. 

 

"Baru-baru ini kami menyemak semula sasaran akhir tahun KLCI kepada 1,628 mata dengan mengambil kira pasaran akan meningkat 4.2% bulan ke bulan pada Disember dan dijangka 2.5% lebih tinggi berbanding 2019, yang ditutup pada 1,589 mata. 

 

"Pelabur-pelabur pula akan memilih saham syarikat yang mampu mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi apabila impak pandemik COVID-19 semakin berkurangan," katanya. - DagangNews.com