Vaksin COVID-19, ringgit dibuka rendah sedikit | DagangNews Skip to main content

Vaksin COVID-19, ringgit dibuka rendah sedikit

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Ringgit memulakan dagangan pagi rendah sedikit, pada RM4.1100/1150 berbanding dolar AS susulan berita penemuan vaksin COVID-19. 

Semalam, ringgit ditutup pada RM4.1080/1130 menjejaki pasaran serantau yang positif ekoran kemenangan Joe Biden.  

Ambank Research berkata, semalam ringgit ditutup tinggi meningkat 0.5% kepada RM4.109, paling kukuh dalam tempoh empat minggu. 

Indeks FBM KLCI pula menokok 0.31% kepada 1,524.3 mata, tertinggi sejak 14 Oktober. 

"Bagi pasaran bon, pelabur mencari aset yang mampu memberi hasil tinggi dalam kalangan ekonomi baharu Asia yang menjangkakan pakej rangsangan AS yang besar," katanya. 

Firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0845 dan 4.0962 dan paras rintangan, RM4.1188 dan RM4.1282. 

Berbanding mata wang lain, ringgit menyusut 0.30% kepada RM4.881 berbanding euro dan 0.35% kepada RM5.407 berbanding poound. 

Untuk mata wang serantau, ringgit diniagakan tinggi, 0.19% kepada RM3.061 berbanding dolar Singapura. 

Bagi dolar AS, ia mengukuh kali pertama dalam tempoh 5 hari, meningkat 0.63% kepada 92.807 didorong oleh keyakinan terhadap kemenangan Joe Biden. 

"Berita mengenai vaksin COVID-19 yang dibangunkan Pfizer dan BioNTech yang terbukti lebih daripada 90% berkesan dalam kajian mereka turut memberi merangsang pasaran," katanya. 

Ini menyaksikan harga minyak Brent melonjak 7.48% kepada AS$42.40 setong manakala West Texas Intermediate juga meningkat 8.48% kepada AS$40.29 setong. 

Kedua-dua harga minyak ini mencapai paras tertinggi sejak 22 Oktober lalu, selepas Pfizer mengumumkan hasil penemuan vaksin COVID-19, sekali gus melonjakkan aset berisiko di seluruh dunia.  - DagangNews.com