VCI Global Limited, Reservoir Link mulakan proses kerjasama strategik teroka industri tenaga bersih | DagangNews Skip to main content

VCI Global Limited, Reservoir Link mulakan proses kerjasama strategik teroka industri tenaga bersih

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - VCI Global Limited telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tidak terikat dengan anak syarikat Reservoir Link Energy Bhd, Founder Energy Sdn Bhd (FESB).

 

MoU tersebut adalah bagi membentuk satu pakatan strategik yang akan memanfaatkan kekuatan unik VCI Global dan FESB untuk meneroka peluang pasaran baharu dalam industri tenaga bersih bagi mendapatkan, mengurus dan membangunkan projek tenaga bersih di rantau Asia Tenggara.

 

VCI Global dan FESB akan menjalankan rundingan syarat perjanjian muktamad yang akan menyediakan syarat untuk kerjasama dalam bidang yang saling menguntungkan melalui perkongsian pengetahuan dan tender kontrak baharu dalam industri tenaga bersih.

 

Syarikat tersebut percaya bahawa pakatan strategik dengan FESB akan membolehkan pembangunan sumber setiap pihak yang selanjutnya.

 

Pengerusi dan Pengarah Kumpulan VCI Global, Datuk Victor Hoo berkata kerjasama tersebut membolehkan kumpulan itu memasuki industri yang semakin berkembang, di mana potensinya masih belum direalisasikan sepenuhnya memandangkan kebanyakan negara masih di peringkat awal.

 

“Memandangkan negara-negara di Asia Tenggara berusaha untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga bersih untuk menjana elektrik, perkongsian dengan FESB adalah tepat pada masanya,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata pakatan yang berpotensi ini merupakan petanda baik untuk cabang tenaga boleh diperbaharui kumpulan itu.

 

“Memandang ke hadapan, kami secara strategik akan mencari lebih banyak peluang untuk meluaskan penawaran dalam ruang tenaga boleh diperbaharui termasuk rantau Asia Tenggara memandangkan potensinya yang luas.

 

“Kami juga terbuka kepada alternatif boleh diperbaharui yang lain memandangkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui meningkat,” tambahnya. -DagangNews.com