Velum Labs beri tumpuan isu kekurangan pakar keselamatan siber, perisikan tempatan | DagangNews Skip to main content

Velum Labs beri tumpuan isu kekurangan pakar keselamatan siber, perisikan tempatan

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Dis - Firma keselamatan dan risikan siber berpangkalan di Malaysia, Velum Labs Sdn Bhd akan terus melabur dalam membangunkan bakat keselamatan siber Malaysia berikutan negara kekurangan pakar keselamatan siber dan perisikan berkebolehan.

 

Ketua Operasi Siber Velum Labs, Mohd Azli Sastero berkata, Velum Labs merupakan syarikat keselamatan dan risikan siber tempatan yang dikendalikan bakat Malaysia serta disokong pakar antarabangsa untuk menyediakan rumusan awan dan risikan siber yang mudah serta tidak mengganggu kepada pasaran antarabangsa dan tempatan.

 

Beliau berkata, secara global, keperluan untuk rumusan ini menjadi lebih kritikal, terutamanya dengan percambahan jenayah siber dan peperangan digital. 

 

"Velum Labs menyasarkan untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat ini di seluruh dunia, menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber dan risikan yang diiktiraf dan bereputasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Mohd Azli berkata, pihaknya akan menjadi penaja utama iHACK 2022, sebuah pertandingan penggodaman siber perdana diterajui Universiti Teknologi MARA (UiTM). 

 

Katanya, syarikat itu akan menaja hadiah wang tunai dan hadiah menarik bagi para pemenang iHACK 2022. 

 

Menurutnya, syarikat tersebut juga akan membina pavilion tercanggih sebagai platform untuk pasukan peserta bertanding, selain memberi pendidikan dan menarik minat rakyat Malaysia mengenai keselamatan siber.

 

 

velum
                                                                   Mohd Azli Sastero

 

 

"Penajaan iHACK 2022 akan menjadi salah satu inisiatif untuk memupuk dan mengembangkan bakat tempatan. Komitmen ini juga akan berjalan seiring dengan aspirasi MyDIGITAL negara di mana keselamatan siber akan memainkan peranan penting untuk bergerak ke hadapan," katanya.

 

iHack 2022 yang masuk edisi ke-10 akan diadakan pada 19 dan 20 Disember 2022 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

 

 

velum

 

 

Pertandingan itu terbuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di dalam dan luar negara. 

 

Objektif utama iHACK adalah untuk menyediakan platform untuk pelajar menunjukkan kemahiran mereka dalam menyelesaikan masalah keselamatan siber.

 

iHACK 2022 akan diadakan bersempena dengan Siber Siaga 2022, yang dianjurkan oleh Bahagian Siber & Elektromagnet Kementerian Pertahanan. - DagangNews.com