KUALA LUMPUR 21 April - Persatuan Strategik Maritim Malaysia (MASTRA) menuntut Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) menyegerakan pembayaran tunggakan kepada vendor sebelum meneruskan projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan MASTRA, Datuk Wan Othman Wan Ab Rahman berkata, tunggakan hutang BNSSB dianggar berjumlah RM1 bilion kepada vendor di bawah naungannya sejak tiga tahun lalu, menjejaskan kedudukan kewangan mereka manakala ramai pekerja terpaksa dibuang.
Katanya, pihaknya yang mewakili lebih 100 vendor itu turut memberi jaminan projek LCS yang tergendala sejak 2019 boleh diteruskan dan memberi komitmen menyiapkannya dengan segera menjelang 2025 atau lebih awal.
"Penyelesaian hutang tertunggak ini penting supaya pihak vendor dapat meneruskan kerja bagi menyiapkan enam kapal LCS. Kapal LCS pertama iaitu Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2025.
"Projek LCS ini penting kepada pembangunan mampan industri pertahanan negara yang akan menyaksikan pembabitan kepakaran dan tenaga kerja anak tempatan dalam menyiapkan projek ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini, Berita Harian melaporkan.
Katanya, MASTRA tidak pernah berdepan masalah kelewatan dari segi pembekalan keperluan bagi menyiapkan projek LCS, malah sebahagian besar vendor memiliki kepakaran untuk meneruskan projek sehingga siap.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Kabinet bersetuju untuk meneruskan projek perolehan LCS.
Berikutan itu, Kabinet akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tadbir urus khas yang bakal dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan Kementerian Kewangan serta KSU Kementerian Pertahanan.
Wan Othman mengesyorkan amalan tadbir urus kewangan diberi pertimbangan tertinggi oleh jawatankuasa yang akan ditubuhkan kelak bagi menjamin masalah bayaran kepada vendor tidak berulang, sekali gus menjejaskan pelaksanaan projek berkenaan.
"Perincian metodologi pelaksanaan projek hendaklah dijelaskan dalam masa terdekat bagi memastikan semua pihak terbabit terutama vendor tempatan dapat mempersiapkan dan dipantau dengan baik dalam meneruskan kembali projek ini.
"Kami percaya kerjasama semua pihak dalam menjayakan projek ini akan mengembalikan tahap industri pertahanan negara setanding negara serantau," katanya yang turut menghargai komitmen kerajaan mahu meneruskan projek ini.
Pada 3 Ogos 2020, Kementerian Pertahanan mengumumkan terpaksa menimbang untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang membekalkan enam aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis kapal LCS kerana mengalami kelewatan dalam pembinaannya.
Mengikut rancangan asal, kapal pertama LCS dikenali sebagai LCS1 yang direka cipta dan dibina sepenuhnya di negara ini sepatutnya siap pada 2018 untuk diserahkan kepada TLDM pada pertengahan 2019 manakala kapal terakhir diserahkan pada pertengahan 2023.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertahanan dan Keselamatan MASTRA, Esham Salam, berkata penangguhan projek itu sebelum ini memberi implikasi besar terhadap ekosistem dan industri maritim itu sendiri, bukan hanya di Perak tapi seluruh negara.
Katanya, penangguhan itu memberi imej tidak baik terhadap Malaysia memandangkan ramai vendor terbabit dalam projek LCS ini adalah mereka dari luar negara. - DagangNews.com