Veteran ATM tidak berpencen turut terima BKK RM350 | DagangNews Skip to main content

Veteran ATM tidak berpencen turut terima BKK RM350

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Nov - Golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen akan tetap menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara one-off bersama 1 juta pesara kerajaan yang lain.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selaras dengan amalan semasa kerjaaan yang perihatin terhadap golongan ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK seperti yang disediakan dalam Bajet 2022.

 

Beliau berkata, inisiatif itu telah dilaksanakan pada Bajet 2021 dengan RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara.

 

"Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM yang terdiri daripada veteran ATM berpencen, pencen terbitan dan veteran ATM tidak berpencen. 

 

"Namun daripada jumlah itu, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September 2021.

 

"Veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang bulan Januari 2022," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

belanjawan

 

Pada sesi pembentangan Bajet 2022, Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan, seramai 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah akan terima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya ketika negara mengharungi tempoh mencabar ini.

 

Selain itu 1 juta pesara kerajaan pula akan menerima BKK berjumlah RM350.-DagangNews.com