Village Grocer buka cawangan baharu ke-29 di Kiara Bay | DagangNews Skip to main content

Village Grocer buka cawangan baharu ke-29 di Kiara Bay

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Pasar raya premium Village Grocer membuka cawangan ke-29 mereka di The Beat, Kiara Bay, Kepong di sini. 

 

Village Grocer baharu ini meliputi keluasan 44,053 kaki persegi dengan bangunan pasar raya seluas 23,885 kaki persegi dan seluas 20,168 kaki persegi premis jualan pelbagai jenis yang mampu memberikan pelbagai kemudahan kepada komuniti Kiara Bay. 

 

Dengan rangkaian luas barangan runcit berkualiti yang diperoleh daripada pasaran tempatan dan global, pasar raya itu merupakan tempat ideal untuk membeli-belah dan menjamu selera.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan The Food Purveyor, Ivan Tan berkata, pihaknya berbesar hati apabila diberikan pengiktirafan daripada UEM Sunrise Bhd sebagai kedai runcit pilihan untuk penduduk Kiara Bay. 

 

"Kami percaya ini telah meningkatkan lagi kemudahan dan menambah baik gaya hidup komuniti. Kami yakin kami dapat menyediakan tawaran yang berbeza kepada pelanggan yang bijak," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah pula berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengalu-alukan Village Grocer ke ruang runcit The Beat di salah satu perbandaran utama mereka di Kepong, Kiara Bay. 

 

"Sebagai pemaju yang memberi tumpuan untuk memastikan komuniti dan perbandaran kami adalah komuniti yang mampan dan boleh didiami, kami percaya kehadiran Village Grocer di ruangan runcit kami akan meningkatkan pengalaman peruncitan kepada pelawat-pelawat kami serta menjadikan The Beat sebagai salah satu destinasi kegemaran komuniti di kejiranan ini," katanya.

 

 

villagegrocer

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif The Food Purveyor, Kok Kian Kee berkata, pihaknya menawarkan produk berkualiti dengan sedikit keterujaan pada promosi Bumper Harvest mingguan yang mewujudkan penantian setiap hari Jumaat bagi item utama pada setiap minggu. 

 

"Kami mahu memberikan pelanggan kami pengalaman rasa istimewa dalam hidangan mereka dengan kelazatan gourmet kami dan memastikan semua keinginan mereka dipenuhi," katanya.

 

Sementara itu, Village Grocer Kiara Bay menawarkan tawaran istimewa sempena pembukaan dalam masa terhad seperti diskaun RM10 dengan pembelian minimum RM100 dalam satu resit, promosi Beli 1 Percuma 1, hadiah percuma pada hari terpilih dari 12 Disember 2023 hingga 7 Januari 2024. 

 

Selain itu, beg cenderahati percuma diberikan kepada 50 pelanggan pertama pada hari tersebut dengan pembelian minimum RM150 dalam satu resit dari 12 hingga 15 Disember ini, sementara stok masih ada.

 

Program kesetiaan Village Grocer Bites menawarkan 1 mata Bites untuk setiap RM2 yang dibelanjakan, yang mana pendaftaran baharu untuk keahlian Bites boleh menikmati e-baucar pendaftaran baharu percuma dan pelbagai faedah ahli termasuk ganjaran hari lahir, promosi eksklusif ahli sahaja. Bites menawarkan keahlian percuma seumur hidup. - DagangNews.com