KUALA LUMPUR 5 April – Visa telah melancarkan Program Karyawan Visa atau Visa Creator Program, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk membantu penggiat seni, pemuzik, pereka fesyen dan pembuat filem dalam dunia digital untuk mengembangkan perniagaan kecil mereka menerusi non-fungible token (NFT) atau token yang tidak boleh ditukar ganti.
Setiap kitaran program akan menyokong sekumpulan usahawan terpilih yang ingin memperdalam pemahaman mereka tentang teknologi dan platform yang menyokong perdagangan NFT.
Visa Creator Program menyokong pertumbuhan ekonomi karyawan digital, salah satu kategori perniagaan kecil yang paling pantas berkembang dengan saiz pasaran dianggarkan bernilai lebih AS$100 bilion.
Buat masa ini, kira-kira 50 juta penggiat seni, pemuzik dan semua pencipta lain menerbitkan kandungan sebagai sumber pendapatan secara sepenuh masa atau sambilan.
Mengembangkan perniagaan dengan NFT
NFT boleh menentusahkan pemilikan dan kesahihan bahan dan media digital, seperti imej, video dan muzik, sekali gus membantu karyawan menjana hasil dan mengembangkan perniagaan mereka.
“NFT berpotensi untuk menjadi faktor pendorong yang memacu kepesatan ekonomi karyawan,” kata Cuy Sheffield, ketua kripto, Visa.
“Kami telah mengkaji ekosistem NFT dan kesan potensinya terhadap masa depan sektor perdagangan, runcit dan media sosial. Menerusi Visa Creator Program, kami ingin membantu kumpulan peniaga kecil dan mikro baharu memanfaatkan medium baharu bagi perdagangan digital.”
Komuniti, bimbingan dan capaian bagi karyawan seni yang sedang meningkat naik
Visa Creator Program ditujukan kepada usahawan yang berkecimpung dalam dunia seni, muzik, fesyen dan filem yang benar-benar serius mahu menerapkan NFT ke dalam model perniagaan masing-masing, sama ada mereka baru sahaja menghasilkan NFT pertama mereka atau telah berjaya menghasilkan beberapa NFT.
“Pada peringkat awal kerjaya NFT, saya bergantung pada komuniti pakar dan penggiat NFT untuk memberi tunjuk ajar kepada saya tentang dunia baharu ini,” kata Micah Johnson, bekas atlet profesional, penggiat seni yang mengelolakan Aku, dan salah seorang pembimbing pertama Visa Creator Program.
“Saya teruja untuk bekerjasama dengan Visa untuk memberikan bimbingan sama kepada karyawan baru yang sedang meningkat naik yang baru memulakan penglibatan mereka dalam NFT.”
Karyawan terpilih akan menyertai program kohort yang dirangka untuk membina dan mendalami ilmu pengetahuan mereka dalam perdagangan kripto dan pembayaran tradisional.
Program ini bertujuan menyokong karyawan dalam lima bidang tumpuan:
- Bimbingan teknikal dan produk: Bimbingan dengan pasukan produk kripto dan pemimpin strategi Visa, untuk merangkumi pelbagai topik termasuk: menilai ciri-ciri rangkaian blockchain (blok rantai) asas, kontrak pintar dan pasaran NFT.
- Membina masyarakat: Peluang untuk bertukar-tukar idea dan menyelesaikan masalah dengan komuniti pencipta dalam pelbagai peringkat perjalanan NFT mereka.
- Mendapatkan pandangan tokoh pemikir: Mendengar pandangan ahli-ahli fikir terkemuka dan juga penyelidik yang terlibat dalam perdagangan digital, web3, kripto dan pembayaran.
- Pendedahan kepada pelanggan dan rakan niaga Visa: Peluang untuk berhubung dengan syarikat-syarikat di seluruh rangkaian pelanggan dan rakan niaga Visa.
- Geran: Pemberian geran sekali untuk membantu pencipta memulakan fasa pertumbuhan seterusnya.
Menyokong perniagaan kecil dalam bentuk baharu
Visa Creator Program adalah sebahagian daripada usaha berterusan Visa untuk membantu perniagaan kecil dan mikro meluaskan lagi capaian ekonomi digital. Menerusi inisiatif berasaskan masyarakat seperti Visa Creator Program dan She’s Next, Visa memberi tumpuan untuk membuka peluang perniagaan kepada perniagaan kecil dan mikro untuk mendapatkan dana, sumber dan kepakaran.
Memandangkan konsep ‘perniagaan kecil’ terus berkembang dan berubah, daripada kedai biasa yang dikendalikan oleh penduduk tempatan kepada pencipta kandungan dan pekerja ekonomi gig, Visa teruja untuk menyokong usahawan generasi baharu untuk meluaskan perniagaan dan menerima bayaran. - DagangNews.com