Visa Malaysia lancar inisiatif celik wang baharu berasaskan permainan interaktif | DagangNews Skip to main content

Visa Malaysia lancar inisiatif celik wang baharu berasaskan permainan interaktif

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Visa melancarkan dua inisiatif baharu yang dirangka untuk membantu anak muda Malaysia meningkatkan ilmu kewangan menerusi permainan interaktif. 

 

Inisiatif pertama ialah program celik kewangan tempatan yang dilaksanakan dengan kerjasama GProvision, sebuah institut pendidikan ilmu kewangan berasaskan permainan. Program ini merangkumi ceramah pendidikan, permainan papan, dan perbincangan di 10 universiti dan kolej di Malaysia.  

 

Program selama tiga bulan tersebut akan diadakan sehingga akhir tahun dan akan membantu siswazah muda untuk mencari cara membuat keputusan yang maklum dan berkesan berkaitan kewangan peribadi mereka.  

 

Permainan papan, Money Quotient akan mendedahkan belia kepada senario simulasi dunia sebenar untuk menggalakkan pembelajaran kreatif tentang konsep kewangan. 

 

Permainan itu memaparkan bidang teras perancangan kewangan, seperti pengurusan wang, perancangan pelaburan, pengurusan risiko dan cukai, persaraan dan perancangan harta pusaka. Money Quotient juga meliputi pelbagai peringkat perancangan kewangan, bermula daripada tahun-tahun asas, pemerolehan serta pengumpulan wang dan juga persaraan. 

 

Inisiatif kedua ialah pelancaran global Financial Football, permainan video berunsur pendidikan yang interaktif dan percuma untuk digunakan yang membolehkan orang muda, dewasa dan pemilik perniagaan kecil belajar dan menimba kemahiran pengurusan wang seperti bajet, simpanan dan penggunaan kad kredit secara bijak. 

 

Diperkenalkan buat pertama kali pada 2005, permainan ini mengajak pemain menjawab soalan aneka pilihan dan soalan betul atau salah tentang ilmu kewangan untuk membawa bola ke depan dalam padang. 

 

Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, Visa komited untuk meningkatkan kecelikan wang dan menggalakkan belia Malaysia untuk mencapai kebebasan kewangan. 

 

Beliau berkata, mereka mahu menyokong anak-anak muda Malaysia agar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan keyakinan untuk menguruskan kewangan secara kreatif menerusi permainan. 

 

"Pelancaran Financial Football dan sesi permainan papan untuk meningkatkan kecelikan wang yang diadakan di universiti-universiti tempatan akan memperkasakan golongan muda kita untuk meningkatkan ilmu pengetahuan tentang pengurusan wang dan membantu mereka menjadi lebih bijak dari segi kewangan apabila menceburi dunia kerjaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dua inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan lebih luas Visa untuk menggalakkan pendidikan kewangan, yang juga termasuk program yang dijayakan baru-baru ini, iaitu Accelerate My Business dengan kerjasama The Asia Foundation. 

 

Inisiatif tersebut, yang memaparkan kandungan daripada platform pendidikan Kemahiran Perniagaan Praktikal Visa, yang telah dimanfaatkan 6,000 wanita di seluruh Malaysia dan Indonesia untuk menguasai kemahiran digital penting untuk mengembangkan perniagaan kecil masing-masing. 

 

Inisiatif tersebut adalah sejajar dengan Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019-2023 oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dengan sokongan Rangkaian Pendidikan Kewangan yang dipengerusikan bersama BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk meningkatkan tahap celik kewangan di negara ini. - DagangNews.com