Vitrox dijangka pulih pada 2HFY23 didorong permintaan dari pelanggan semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Vitrox dijangka pulih pada 2HFY23 didorong permintaan dari pelanggan semikonduktor

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Asas pendapatan Vitrox Corporation Berhad yang pelbagai dan pendedahan kepada industri dengan pertumbuhan tinggi kekal sebagai peluang cerah walaupun pendapatan dilaporkan lemah, kata AmInvest Research.

 

Selain itu, kehadiran Vitrox di pelbagai tempat juga dapat membantu syarikat mendapatkan pelanggan baharu susulan lencongan perdagangan disebabkan perang cip Amerika Syarikat dan China, khususnya di Mexico dan rantau ASEAN, kata firma penyelidikan itu.

 

Tambahnya, kumpulan itu juga mengambil pandangan jangka panjang tentang situasi di China dengan terus memberikan sokongan kepada pelanggannya walaupun pemulihan permintaan lebih perlahan daripada jangkaan agar dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dan kedudukan untuk kitaran pasaran seterusnya.

 

“Tiada perubahan dibuat pada pendapatan kerana kami menganggap keputusan tersebut sebahagian besar dalam jangkaan memandangkan permintaan dijangka pulih dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (2HFY23), terutamanya daripada pelanggan semikonduktor,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Mengulas berkenaan keputusan suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23), firma itu berkata keuntungan bersih teras 1QFY23 sebanyak RM33 juta menyumbang 15% daripada pendapatan FY23F setahun penuh kami dan 16% daripada konsensus.

 

Sementara itu, pendapatan 1QFY23 sebanyak RM133 juta menyusut 28% tahun ke tahun (YoY) namun berada pada 17% daripada ramalan tahun penuh firma.

 

Penurunan jualan berbanding tempoh sama tahun lalu disebabkan terutamanya oleh permintaan yang lebih rendah untuk peralatan Machine Vision System (MVS).

 

“Akibatnya, keuntungan teras 1QFY23 Vitrox merosot 35% YoY, seiring dengan penurunan dalam pendapatan kumpulan dan kemerosotan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 1% mata, mungkin disebabkan oleh trend pertukaran asing (forex) yang tidak menggalakkan,” tambahnya.

 

AmInvest mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM7.60 sesaham. -DagangNews.com