Volkswagen perkenal model Arteon R-Line 4MOTION dilengkapi teknologi IQ Drive berharga RM299,990 | DagangNews Skip to main content

Volkswagen perkenal model Arteon R-Line 4MOTION dilengkapi teknologi IQ Drive berharga RM299,990

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mei - Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan model utama Arteon R-Line 4MOTION yang telah dipertingkatkan dan kini dilengkapi teknologi IQ Drive. 

 

VPCM dalam kenyataan hari ini berkata, dengan harga cadangan RM299,990, ciri-ciri baharu IQ Drive merangkumi Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk menawarkan pemanduan yang lebih selesa dan selamat, selain hadir dengan port pengecasan tanpa wayar. 

 

Katanya, rekaan Arteon yang kemas menyembunyikan prestasinya mengagumkan, yang mana di bawah hud terletak enjin turbo 2.0L TSI yang mampu menjana kuasa 280PS dan tork 350Nm. 

 

"Dipadankan dengan kotak gear klac basah tujuh kelajuan DSG direct shift, fastback itu boleh memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4L/100km.

 

"Pengendalian luar biasa disumbang oleh sistem pacuan semua roda 4MOTION yang menyalurkan kuasa ke roda belakang apabila perlu untuk memberikan cengkaman dan kawalan lebih baik di atas jalan," katanya.

 

VPCM berkata, ruang dalaman Arteon yang luas cukup elegan dan 'sporty', disempurnakan lagi dengan kemasan perak R-Line dan stereng baharu. 

 

Katanya, ciri-ciri untuk pemandu juga lebih inovatif, dan boleh diubahsuai, yang mana semua maklumat boleh diakses dengan mudah menerusi sistem Digital Cockpit dan infohibur Discover Pro yang menampilkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

 

 

vw

 

 

Menurutnya, sistem audio premium Harman Kardon 700-watt melengkapkan lagi ruang dalaman yang mewah itu. 12 unit pembesar suara menawarkan akustik yang terbaik dan lebih segar. 

 

"Lampu utama dilengkapi ciri Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), manakala lampu belakang LED 3D hadir dengan lampu membelok sequential. Arteon didatangkan dengan ciri All Weather Light untuk memberikan iluminasi lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) sehingga 15 tetapan tertentu dan lima mode pemanduan, termasuk Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual.

 

 

vw

 

 

Katanya, di belakang stereng terdapat paparan Digital Cockpit beresolusi tinggi bersaiz 11.7 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting jika diperlukan. 

 

Tidak pernah berkompromi dengan aspek keselamatan, Arteon dilengkapi pelbagai ciri seperti Bantuan Hadapan (Front Assist), Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control), Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist).

 

"Ciri keselamatan standard pada Arteon termasuklah Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA) dan Active Bonnet untuk perlindungan pejalan kaki," katanya.

 

Selain itu, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar memantau tekanan setiap tayar, sementara Manoeuvre Braking akan menekan brek secara automatik apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10km/j.

 

Katanya, rekaan hatch belakang yang boleh dibuka luas menawarkan ruang sebesar 563 liter, yang mana sebagai tambahan menawarkan bukaan dan penutupan but secara bebas tangan, sekali gus memberikan kemudahan untuk pemandu mengeluarkan barangan menggunakan kedua-dua belah tangan dengan mudah. 

 

Tiga warna metalik ditawarkan, seperti kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver) serta dua warna dengen efek mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

 

Tambahnya, ia turut disokong oleh penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun. - DagangNews.com