Voon Tin Yow dilantik CEO Kumpulan Mah Sing enam bulan selepas bersara daripada IOI Properties | DagangNews Skip to main content

Voon Tin Yow dilantik CEO Kumpulan Mah Sing enam bulan selepas bersara daripada IOI Properties

Datuk Voon Tin Yow dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing) berkuat kuasa 2 Februari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Jan - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Berhad, Datuk Voon Tin Yow dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing) berkuat kuasa 2 Februari ini.

 

Tin Yow, 66, yang mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam industri hartanah menggantikan Datuk Ho Hon Sang yang akan bersara selepas lapan tahun bersama Mah Sing.

 

Namun Hon Sang akan terus kekal sebagai Pengarah Eksekutif sehingga akhir Mac 2024.

 

Tin Yow berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam dari Universiti of Texas, Amerika Syarikat dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di beberapa syarikat hartanah terkemuka antaranya SP Setia dan Eco World.

 

Merupakan veteran industri, Tin Yow bersara daripada CEO IOI Properties pada 1 Julai 2023 setelah dilantik menjawat jawatan itu pada 15 April 2020.

 

Mah Sing pada masa sama mengumumkan pelantikan Lionel Leong Jihn Haur sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing dan Pengarah Eksekutif.

 

Lionel, 35, merupakan anak kepada Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dengan pelantikan beliau juga berkuat kuasa 2 Februari ini.

 

lionel mah sing
Lionel Leong Jihn Haur dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing.

 

Menyertai Mah Sing sejak 2013, Lionel merupakan Pengarah Operasi dan Strategi Kumpulan.

 

Sementara itu, Hoy Kum mengalu-alukan pelantikan Tin Yow yang disifatkan beliau mampu membawa Mah Sing ke satu peringkat lebih tinggi bersandarkan pengalaman luasnya dalam industri hartanah.

 

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Hon Sang yang menyumbang kepada prestasi kukuh Mah Sing.

 

"Kami menghargai kepimpinan dan komitmen beliau kepada perlalihan dengan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Mah Sing berkata, Tin Yow akan menyelia operasi bahagian hartanah dan membantu Hoy Kum dalam mengemudi syarikat untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

 

"Berbekalkan pengalaman luasnya, Datuk Voon akan memberikan nasihat strategik kepada lembaga pengarah, berkongsi pandangan tentang peningkatan prestasi pekerja dan mengetuai operasi harian organisasi," kata syarikat itu.

 

mah sing

 

Menurut Mah Sing, beberapa projek baharu bakal dilancarkan pada tahun 2024 sejajar dengan pengambilalihan tanah di lima lokasi pada tahun 2023.

 

Pengambilaihan lima bidang tanah itu melibatkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM5.5 bilion.

 

"Ini termasuk M Zenya di Kepong (4.88 ekar), M Azura di Setapak (4 ekar), M Terra dan M Hana di Puchong (8.2 ekar), M Legasi di Semenyih (500 ekar) dan M Tiara di Johor Bahru (75.7 ekar) .

 

"Projek baharu ini dijadualkan akan dilancarkan pada 2024/2025. Pada Januari 2024, Mah Sing melancarkan galeri jualan M Terra di Puchong. Sebagai pembangunan Daerah Alam Sekitar Transit (TED), M Terra menawarkan rumah mampu milik dengan harga permulaan RM250,000.

 

"Selain itu, Mah Sing mempunyai rancangan menarik untuk pelancaran baharu termasuk fasa masa depan M Senyum di Salak Tinggi, Meridin Timur di Johor Bahru, M Residence di Rawang, Southville City di Bangi, antara lain,"kata syarikat hartanah itu.- DagangNews.com