Vortex Consolidated lancar Bravo Financing, pinjaman khusus untuk projek hartanah kumpulan | DagangNews Skip to main content

Vortex Consolidated lancar Bravo Financing, pinjaman khusus untuk projek hartanah kumpulan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Vortex Consolidated Berhad hari ini melancarkan Bravo Financing, pinjaman khusus untuk semua projek hartanah kumpulan yang sedang berjalan dan akan datang.

 

Bravo Financing ialah pinjaman berjangka untuk hartanahdengan tawaran pembiayaan sehingga 100% bagi tempoh sehingga 15 tahun dan peningkatan faedah tahunan sebanyak 4%. 

 

Permohonan akan diproses dalam masa 24 jam dan tiada dokumentasi diperlukan kecuali kad pengenalan pemohon, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

Pengarah Eksekutif Vortex, See Toh Kean Yaw berkata, Vortex akan membantu mereka yang bekerja sendiri dan tidak berpendapatan tetap, termasuk pekerja ekonomi gig, pemilik perniagaan dan peniaga atau usahawan kecil untuk memiliki rumah pertama mereka dengan kumpulan itu. 

 

“Kami menawarkan dua skim pinjaman menarik dengan pilihan pembiayaan sehingga 80% dan pembiayaan sehingga 100%. 

 

"Bagi mereka yang memerlukan 100% pinjaman, kami akan menandatangani Perjanjian Pajakan-Untuk-Miliki di mana mereka akan dapat menikmati tiga tahun sewa pajakan tanpa faedah sebelum ditukar kepada Perjanjian Jual Beli, tertakluk kepada terma dan syarat lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

barvo

 

Beliau berkata, ia adalah langkah strategik kumpulan untuk memanfaatkan sumber dalam segmen pembangunan, pelaburan hartanah dan perkhidmatan kewangan kami dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada pengguna akhir. 

 

"Cadangan penempatan persendirian kumpulan baru-baru ini sehingga 127,580,200 saham penempatan (di bawah senario maksimum) kira-kira RM21.05 juta berdasarkan harga terbitan ilustrasi RM0.1650 sesaham, diperuntukkan untuk membiayai modal kerja yang diperlukan untuk perniagaan pinjaman wang kami yang boleh digunakan untuk menyediakan skim Bravo Financing," katanya.

 

Vortex kini sedang membangunkan projek kediaman dan komersial, Louvre Residence yang dijangka siap menjelang Disember 2023. 

 

Louvre Residence adalah projek suite pangsapuri perkhidmatan premium 34 tingkat, terdiri daripada sejumlah 498 unit dengan saiz unit antara 614 kaki persegi hingga 2,359 kaki persegi dan 29 unit runcit dengan saiz unit antara 738 kaki persegi hingga 4,781 kaki persegi.

 

Kean Yaw berkata, kumpulan menjangkakan dapat menjana kira-kira RM452.7 juta dengan jangkaan keuntungan kasar sebanyak RM165 juta bagi projek Louvre Residence. 

 

“Selain itu, kami menjangkakan kira-kira RM25 juta hasil daripada pendapatan faedah untuk tiga tahun pertama, mengandaikan 50% daripada pembeli Louvre Residence mengambil 80% pinjaman berdasarkan skim Pembiayaan Bravo. 

 

"Pihak pengurusan juga berhasrat untuk secara aktif meninjau dan menilai potensi projek hartanah yang sedang berjalan atau terbengkalai dengan nilai baik yang dianggap boleh dilaburkan bagi menyiapkan projek itu,” tambahnya. - DagangNews.com