KUALA LUMPUR 29 Julai – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) berbesar hati untuk mengumumkan pengenalan Golf R-Line serba baharu dan digital sepenuhnya yang ditawarkan dari harga RM169,990.
Model serba baharu itu mengekalkan reka bentuk Golf yang tidak ditelan zaman. Namun, ia kini lebih sporty dan ekspresif, terima kasih kepada gayaan R-Line.
Direka dengan tumpuan kepada kecekapan aerodinamik, bampar hadapan berbentuk C itu lebih rendah untuk prestasi yang lebih responsif.
Penampilan sporty itu disempurnakan lagi dengan rim aloi Valencia bersaiz 17” dan sepasang paip ekzos krom hiasan berbentuk trapezoid.
Reka bentuk dan ciri pada Golf serba baharu ini dicipta untuk memberi keterujaan. Manakala prestasi adalah lebih daripada yang disangkakan. Di bawah hud Golf R-line terletak enjin turbo 1.4TSI berkuasa 150PS dan tork 250Nm yang dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan shift by wire.
Sebagai generasi Golf paling progresif, aspek digital Golf R-Line ditingkatkan untuk lebih kemudahan dan ketersambungan yang lancar.
Operasi intuitif kereta ini disokong oleh sistem kawalan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng. Ia memberi maklum balas kepada arahan suara seperti “Saya sejuk” dan akan menaikkan suhu pendingin hawa.
Pengecaman dan kualiti suara untuk panggilan telefon adalah jelas kerana ia mampu mengesan individu yang bercakap (pemandu atau penumpang), seterusnya memberi respons sewajarnya, seperti mengenal pasti zon pendingin hawa mana yang perlu diubah suai.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkongsi keterujaannya dengan pelancaran ini. “Kami berbangga kerana mampu memasang Golf yang ikonik ini di Malaysia. Ia menjadi peluang terbaik untuk memiliki sebuah Golf yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, di samping teknologi dan ciri terkini dalam generasi terbaharu ini.
"Golf R-Line serba baharu dan digital sepenuhnya ini merupakan satu inspirasi. Ia adalah hatchback yang anda ingin dilihat memandunya,” katanya.
VPCM menyokong pelanggan melalui perkhidmatan selepas jualan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun. - DagangNews.com