V.S Industry catat peningkatan hasil 18.2% kepada RM3.4 bilion bagi 9MFY23 | DagangNews Skip to main content

V.S Industry catat peningkatan hasil 18.2% kepada RM3.4 bilion bagi 9MFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - V.S. Industry Berhad merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 18.2% kepada RM3.4 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April 2023 (9MFY23) berbanding RM2.91 bagi tempoh sama pada tahun sebelum ini.

 

Peningkatan hasil itu dipacu oleh pertambahan jualan daripada pelanggan sedia ada.

 

Meskipun mencatatkan peningkatan hasil yang ketara namun untung bersih kumpulan menyusut kepada RM117.8 juta berbanding RM135.2 juta pada tahun lalu.

 

Pelbagai faktor mendorong penurunan keuntungan itu termasuk kekurangan penggunaan kilang pengeluaran keseluruhan yang mengakibatkan pengurangan skala ekonomi; kos elektrik, tenaga kerja dan pembiayaan yang lebih tinggi; serta kerugian tukaran mata wang asing (forex).

 

Pengarah Urusan kumpulan, Datuk S.Y. Gan berkata, memandangkan keadaan operasi perniagaan yang mencabar dan ketidaktentuan ekonomi, pihaknya berpuas hati dengan keputusan yang dicatatkan.

 

Katanya, tekanan inflasi yang berterusan mengurangkan kuasa beli pengguna dan memberi kesan kepada permintaan daripada pelanggan.

 

"Namun begitu, terdapat laporan yang menunjukkan bahawa inflasi telah memuncak dengan tekanan kenaikan kadar faedah kini beransur-ansur berkurangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berharap sentimen pengguna bertambah baik dan pihaknya menjangkakan potensi peningkatan permintaan untuk suku tahun hadapan.

 

"Kami juga sibuk dengan beberapa model produk baharu yang akan dilancarkan oleh pelanggan kami tidak lama lagi. Secara keseluruhannya, lembaga pengarah berpendapat prestasi kewangan bagi suku yang tinggal adalah memuaskan kecuali keadaan yang tidak diduga," katanya.

 

Sementara itu, hasil 3QFY23 kumpulan meningkat 7.5% kepada RM996.8 juta daripada RM927.6 juta setahun yang lalu, disebabkan oleh pesanan jualan yang lebih tinggi daripada pelanggan utama.

 

Sama seperti prestasi kumulatif, keuntungan bersih bagi suku semasa dipengaruhi oleh penggunaan kapasiti yang kurang di atas, kenaikan kos elektrik, tenaga kerja dan pembiayaan bersama-sama dengan pergerakan forex yang tidak menggalakkan.

 

Keuntungan bersih 3QFY23 berada pada RM26.8 juta berbanding RM51.3 juta pada tahun lalu. - DagangNews.com