VS Industry lantik PwC Consulting kendali semakan bebas mengenai amalan buruh | DagangNews Skip to main content

VS Industry lantik PwC Consulting kendali semakan bebas mengenai amalan buruh

KUALA LUMPUR 11 Feb - Penyedia pembuatan perkhidmatan elektronik, VS Industry Bhd. melantik PwC Consulting Associates (M) Sdn. Bhd. untuk mengendalikan semakan bebas terhadap amalan buruh kumpulan.

 

Pengarah Urusan VS Industry, SY Gan berkata, semakan yang dijalankan PwC Consulting itu adalah lebih akan menyeluruh dan termasuk sokongan perunding hak buruh.

 

Katanya, skop pelantikan itu juga meliputi penyediaan bengkel kepada lembaga pengarah dan pengurusan kumpulan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang isu buruh paksa dan pengurusan risiko.

 

"Ini dapat membantu menambahbaik tunggak sosial di bawah inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami percaya, ini adalag bahagian penting dalam tugas kami untuk terus meningkatkan kebajikan pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

PwC Consulting merupakan sebahagian daripada PwC Network, rangkaian firma di 156 negara dengan lebih 295,000 orang yang komited untuk memberikan jaminan kualiti, khidmat nasihat dan cukai.

 

Semakan yang akan dijalankan PwC Consulting itu adalah berdasarkan kepada 11 petunjuk Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) berkenaan buruh paksa merangkumi penyalahgunaan kelemahan, penipuan, sekatan pergerakan, pengasingan, keganasan fizikal dan seksual, ugutan dan ancaman, pengekalan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, ikatan hutang, keadaan kerja dan kehidupan yang kasar, dan bekerja lebih masa yang berlebihan.

 

Kajian semula PwC Consulting akan disokong oleh perunding hak buruh bebas dengan pengalaman dalam menjalankan semakan hak buruh di Malaysia termasuk untuk ILO dan membantu syarikat menangani kekurangan yang dikenal pasti.

 

Pada masa sama, VS Industry turut mengiktiraf sumbangan pakar hak pekerja migran, Andy Hall, kerana membawa isu berkaitan buruh tertentu kepada perhatian kumpulan. 

 

Menurut Gan, dengan PwC Consulting kini bersedia untuk semakan bebas, kumpulan akan bekerjasama sepenuhnya dengan mereka.

 

"Firma ini akan mempunyai semua akses yang diperlukan kepada dokumentasi, tempat kerja dan asrama kami, serta akses penuh untuk bercakap terus dengan pekerja," katanya.

 

Beliau berkata, VS Industry komited untuk menjalankan perniagaan yang bertanggungjawab dalam semua operasi dan bekerjasama rapat dengan Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA) untuk mempromosikan jaminan berterusan kepada Tatakelakuan RBA. - DagangNews.com