VSTECS catat peningkatan hasil kepada RM624.4 juta pada 2QFY24 didorong perkembangan segmen perkhidmatan ICT | DagangNews Skip to main content

VSTECS catat peningkatan hasil kepada RM624.4 juta pada 2QFY24 didorong perkembangan segmen perkhidmatan ICT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - VSTECS Bhd mencatatkan peningkatan hasil kepada RM624.4 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding RM608.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong perkembangan segmen perkhidmatan ICT.

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan itu dicapai walaupun terdapat kelembapan sementara dalam segmen sistem perusahaan kerana mereka sedang menanti pelaksanaan beberapa kontrak dalam sektor awam.

 

Keadaan itu diimbangi pertumbuhan segmen pengedaran ICT didorong penggantian wajar produk IT pengguna selain segmen perkhidmatan ICT juga meneruskan trajektori menaikkan disokong peningkatan permintaan dalam perkhidatan awam.

 

"Bagaimanapun untung bersih kumpulan itu menyusut sedikit kepada RM15.2 juta pada suku berkenaan berbanding RM15.7 juta pada 2QFY23," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama 2024 (6MFY24),  kumpulan itu mencatatkan yang lebih rendah sebanyak RM1.24 bilion berbanding RM1.27 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Untung bersih bagi tempoh itu juga menyusut sedikit kepada RM29.5 juta berbanding RM30.5 juta pada 6MFY23 dan sehingga 30 Jun 2024, kedudukan tunai bersih berjumlah RM120.2 juta, meletakkan VSTECS untuk memanfaatkan peluang pengembangan dengan kunci kira-kira yang kukuh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif VSTECS, JH Soong berkata, pihaknya berbesar hati melaporkan keputusan yang memuaskan untuk suku kedua walaupun terdapat beberapa kelewatan sementara dalam pelaksanaan pelbagai projek sektor awam.

 

Katanya, mereka kekal optimis mengenai penyambungan semula projek-projek ini pada bulan-bulan akan datang, yang digabungkan dengan prestasi mantap segmen pengedaran ICT dan perkhidmatan ICT yang meletakkan mereka dalam kedudukan baik separuh kedua tahun ini.

 

"Segmen pengedaran ICT, yang melayani pasaran pengguna, telah mempamerkan momentum pertumbuhan yang ketara sejak awal tahun. 

 

"Trajektori positif ini dijangka berterusan apabila kami menyaksikan lonjakan dalam produk pengguna dan pelancaran peranti yang didayakan Kecerdasan Buatan (AI).

 

"Perkembangan ini bukan sahaja akan memenuhi kitaran penggantian tetapi juga menangani peningkatan permintaan untuk alatan yang meningkatkan produktiviti dan kreativiti," katanya.- DagangNews.com