Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 5 Feb. - Pasaran saham tempatan meneruskan momentum untuk dibuka tinggi sepanjang minggu ini.
Prestasi ini didorong oleh lonjakan saham-saham di Wall Street yang mempengaruhi pasaran ekuiti serantau termasuk Malaysia.
Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 terus ‘menyekat’ indeks penanda aras tempatan untuk melepasi paras rintangan 1,600 dengan kukuh.
Ketika dibuka pada 9 pagi ini, FBM KLCI menokok 2.80 mata kepada 1,587.70 daripada paras yang ditutup semalam, 1,584.90.
Bagaimanapun, setelah 35 minit didagangkan, indeks penanda aras itu jatuh 0.83 mata kepada 1,584.07 daripada paras yang ditutup semalam.
CGS-CIMB Research menjangkakan niaga hadapan indeks akan dibuka lebih tinggi didorong oleh lonjakan di Wall Street.
Ini memandangkan pasaran buruh di Amerika Syarikat (AS) dijangka pulih.
Menurut Rakuten Trade Research, keuntungan korporat lebih baik daripada jangkaan telah ‘menolak’ ekuiti AS lebih tinggi.
Jelas firma penyelidik itu, ketika DJI Average meningkat 322 mata kepada sekitar 31,055, kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq mengakhiri sesi itu dengan rekod tertinggi.
Sementara itu, di pasaran tempatan, FBM KLCI kekal tidak menentu memandangkan indeks berkenaan hanya mampu ‘mendarat’ pada julat positif pada sesi dagangan terakhir.
“Oleh itu kami percaya trend ini akan berterusan memandangkan sentimen masih lagi rapuh dan menjangkakan indeks itu berlegar dalam jajaran 1,585 hingga 1,595 hari ini.
“Kami mendapati bahawa dagangan dalam syarikat dengan modal pasaran lebih kecil sedang mengumpul momentum.
“Oleh itu, ini mungkin merupakan permulaan bagi aktiviti yang lebih aktif di syarikat-syarikat ini,” jelas Rakuten Trade. - DagangNews.com